PM ucap tahniah pada penjaring terhebat Rooney

   

Hakikatnya takdir seakan-akan tidak memihat kepada pasukan 'Syaitan Merah' itu. Kira-kira sama seperti perlawanan mereka pada minggu lalu.

Namun sekali lagi nasib bagaikan bersimpati. Gol penyamaan hadir hanya beberapa minit sebelum pengadil, Mark Clattenburg, meniup wiset penamat.

Maka Manchester United berjaya mencuri satu mata daripada Stoke City mereka di gelanggan lawan mereka itu.

Stoke sudah berada di depan sejak minit ke-19 hasil jaringan sendiri pemain MU, Juan Mata.

Berdepan serangan bertali arus, anak buah Jose Mourinho berdepan jalan buntu untuk mencari sekurang-kurangnya gol penyamaan sekaligus mengelak kesipuan melanda skuad yang gah dengan nama dan sejarah mereka itu.

Keadaan seakan-akan memihak kepada tuan rumah sehinggalah Mourinho memasukkan Wayne Rooney menggantikan Mata.

Ketika permainan berbaki kurang dari 180 saat, Clattenburg menghadiahkan sepakan percuma kepada MU dan Rooney, 31, mengambil tempat untuk melakukan tendangan.

Dan detik selepasnya adalah sejarah.

Walaupun Rooney sekadar menyekat kemenangan mutlak Stoke, secara peribadi penyerang dan ketua pasukan England itu memadamkan rekod Sir Bobby Charlton yang dicipta 44 tahun lalu. Stadium Bet 365 menjadi saksi.

Ia tidak sekadar membawa kegembiraan kepada Mourinho. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai penyokong kuat MU turut menghargai kehebatan Rooney.

Bagi Najib, MU juga lebih layak menang ke atas Stoke malam tadi.

"Sepatutnya menang perlawanan semalam, tapi tahniah @WayneRooney kerana menjadi penjaring gol terbanyak sepanjang masa! #GGMU #Legend," kata Najib melalui Twitter petang ini.

Sebelum ini Charlton, 79, adalah penjaring terbanyak untuk kelab MU dengan 249 gol pada 1973.

Rooney menyamakan kedudukannya dengan atlet dihormati itu apabila membantu mendapatkan gol untuk MU ketika bertemu Reading dua minggu lalu.

Namun satu gol daripada Rooney malam tadi memadai untuknya berada di depan Charlton.

MU kini berada di kedudukan keenam EPL dengan 41 mata, manakala Stoke di tempat kesembilan dengan 28 mata.

 

 

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.