Old Trafford bergelut ubah suai stadium demi OKU
Stadium 'keramat' Manchester United (MU) akhirnya memenuhi standard minimum ditetapkan undang-undang bagi memenuhi keperluan orang kurang upaya (OKU).
Walaupun dianggap "sangat mengecewakan" oleh pertubuhan amal di England, pengurusan Stadium Old Trafford berjaya menyiapkan 300 ruang baru untuk kemudahan penonton kelainan upaya, termasuk tambahan 120 ruang kepada pengguna kerusi roda menjadikan jumlahnya 277 unit.
Bagaimanapun kesan pengubahsuaian struktur itu, jumlah keseluruhan penonton yang boleh dimuatkan di Old Trafford menurun kepada 73,300 berbanding 75,000 sebelum ini.
Proses penempatan semula 2,600 pemegang tiket bermusim pula mengambil masa sehingga 2020.
Pengarah Urusan MU, Richard Arnold, berkata pihaknya melakukan proses berkenaan secara "sangat agresif" dengan mengambil kira keselesaan pemegang tiket bermusim serta keperluan penonton OKU.
"Kami rasa ia adil," katanya kepada The Telegraph.
Pada 2015, pengendali EPL memberitahu, semua stadium yang terlibat dalam liga berkenaan mestilah mematuhi syarat minimum untuk OKU menjelang Ogos 2017.
Pengubahsuaian itu dicadangkan kali pertama oleh pasukan bertindak khas bola sepak England pada 1998.
Pada permulaan musim ini hanya tiga kelab memenuhi keperluan berkenaan. Berdepan dengan tindakan undang-undang, sebahagian besar kelab sedang giat mengubah suai stadium masing-masing.
Mula-mula janji, tetapi...
Namun Chelsea, Liverpool, Watford dan Bournemouth membayangkan mereka akan gagal mematuhi syarat berkenaan sebelum tarikh akhir yang diberi itu.
Kelab yang baru menyertai EPL pula akan diberi masa lebih lama menyiapkan kemudahan berkenaan. Dalam keadaan begitu dianggarkan lebih satu pertiga kelab EPL gagal memenui kriteria itu pada permulaan musim depan.
Pengerusi pertubuhan amal Level Playing Field, Tony Taylor, jelas kecewa dengan perkembangan berkenaan.
"Kelab EPL berjanji melaksanakan syarat itu mengikut tempoh yang diberi, tetapi sekarang satu demi satu mengakui mereka akan gagal," katanya.
Pengurusan MU pula menjelaskan, mereka berdepan banyak masalah rumit untuk mengubah suai stadium yang kini berusia hampir 100 tahun itu.
Mereka juga mendapatkan khidmat empat firma arkitek untuk mempertimbangkan 30 cadangan sebelum memilih yang terbaik bagi dilaksanakan segera.
"Perubahan ini apabila siap nanti akan memberi lebih ramai penyokong setia MU melihat wira mereka beraksi di Old Trafford.
"Kami sedar ia menyukarkan peminat. Ia juga ada kaitan dengan faktor emosi," kata Arnold.

