Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Kuaci diharamkan di Stadium Darul Aman
Diterbitkan:  Jan 27, 2017 3:51 PM
Dikemaskini: 8:10 AM

Perbadanan Stadium Negeri Kedah (PSNK) mengemukakan peraturan baru dengan melarang membawa masuk kuaci ke dalam Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Perkara itu disahkan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) melalui pengumuman di Facebook rasmi mereka, sebentar tadi.

"Bagi musim 2017, beberapa langkah turut dilaksanakan bagi memastikan Stadium Darul Aman kekal bersih dan selamat digunakan.

"Setelah mendapat persetujuan lembaga mesyuarat, pihak PSNK telah memutuskan supaya makanan ringan iaitu kuaci tidak dibenarkan dibawa masuk ke Stadium Darul Aman bagi semua perlawanan musim ini," kata kenyataan tersebut.

KFA menjelaskan, Stadium Darul Aman adalah antara stadium berkapasiti tinggi dan penuh bersejarah di Malaysia.

Dari rekabentuk asal sehinggalah ketika ini dengan kapasiti 30,000 penyokong, evolusi tersebut amat nostalgia kepada peminat bola sepak negeri itu.

Kenyataan itu juga menyebut, Timbalan Pengerusi PSNK Datuk Aminudin Omar, merangkap Setiausaha Kehormat KFA dilaporkan turut bersetuju agar cadangan itu dikuatkuasakan mulai tahun ini.

Katanya, langkah memastikan stadium sentiasa bersih bersempena Jubli Emas Stadium Darulaman 1967-2017 dan selaras dengan Enakmen Perbadanan Stadium Negeri Tahun 1971 iaitu melalui peruntukan penguatkuasaan peraturan di bawah peruntukan seksyen 14(f) Enakmen Perbadanan Stadium Negeri tahun 1971.

"Antara rasional langkah ini dibuat adalah sampah buangan kulit kuaci yang mereput di bawah kerusi terutamanya kawasan terbuka menyebabkan kotoran yang susah untuk dibersihkan.

"Larangan membawa masuk kuaci bukanlah pertama kali dilaksanakan di Malaysia tetapi turut menjadi barang larangan di stadium-stadium lain seperti di Melaka dan juga stadium-stadium utama di luar negara," tambah kenyataan itu.

 

Lihat Komen
ADS