Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Kelantan peroleh kemenangan pertama
Diterbitkan:  Jan 27, 2017 6:42 PM
Dikemaskini: 11:05 AM

Skuad bola sepak Kelantan berjaya meraih kemenangan pertama dalam saingan Liga Super 2017 selepas menewaskan PKNS FC 3-1, sebentar tadi.

Berkunjung ke Stadium Shah Alam, anak buah Zahasmi Ismail mengejutkan pasukan tuan rumah melalui jaringan pemain Import mereka, Mohammed Mahmoud Ghaddar di minit ke-19.

Ghaddar kemudiannya meletakkan kedudukan lebih selesa dengan menyempurnakan sepakan penalti diberikan pengadil tiga minit berselang.

Penalti berpunca kekerasan ke atas Allesandro Padovani Celin itu pada awalnya ditepis penjaga gol PKNS sebelum disudahkan dengan sentuhan susulan Ghaddar.

PKNS FC bagaimanapun berjaya merapatkan jurang gol pada minit-minit akhir separuh masa pertama melalui tandukan penyerang mereka, Gonzalo Soto untuk kedudukan 1-2.

Kembali di separuh masa kedua, Kelantan terus mengukuhkan kedudukan mereka apabila kapten Badri Radzi tampil menjaringkan gol ketiga pasukan.

Pemain tengah yang dikenali sebagai Piya itu menyempurnakan gol pertama peribadinya bagi musim ini melalui sepakan bebas pada minit ke-48.

Pada pembukaan liga minggu lalu, perlawanan pertama skuad The Red Warriors bertemu Melaka United di Kota Bharu terpaksa ditangguhkan atas faktor cuaca.

Sementara itu bagi PKNS FC, kekalahan hari ini menjadi kekalahan kedua mereka selepas ditundukkan Felda United pada aksi pertama Sabtu lalu.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS