Pelbagai kritikan, cemuhan dan caci-maki oleh sebahagian penyokong bola sepak Kedah nampaknya begitu memberi kesan buat penjaga gol Helang Merah, Mohd Farhan Abu Bakar.

Dalam tulisan berbentuk luahan hatinya, pemain berusia 23 tahun itu mengimbau kenangan manis bersama arwah ibu.

"Untuk arwah mak yang meninggal dunia ketika saya berusia 10 tahun. Seorang peminat bola sepak Kedah. Masa saya dalam pantang dia usung saya naik bas sebab nak pi (pergi) tengok bola.

"Ya, masih dalam pantang. Asalkan dapat tengok bola. Mak, kalau dari saya dalam pantang pun mak sanggup bawa saya pergi stadium tengok bola.

"Kalau mak masih ada, mesti mak seronok tengok anak sendiri di dalam padang. Sekurang-kurangnya, pasti mak bangga. Kalau mak masih ada, di antara beribu penonton yang cerca saya, pasti terselit doa seorang ibu yang inginkan terbaik untuk anaknya," katanya di Facebook, semalam.

Terdahulu, peminat Kedah mengkritik penampilan Farhan ketika membantu pasukannya pada perlawanan menentang Sarawak di Stadium Darul Aman, Alor Setar Jumaat lalu.

Namun, Kedah berjaya menumpaskan pasukan pelawat dengan keputusan 3-2 pada saingan kedua Liga Super 2017 itu.

Farhan berkata, dia tiada lagi kekuatan doa dari seorang ibu.

"Tapi siapa kita untuk melawan takdir Allah. Ya, hidup ni ada naik turunnya. Jujur bila saya baca komen di facebook, Instagram dan lain-lain terlalu ramai orang memaki hamun dan mempersendakan saya membuatkan saya terkilan dan lemah.

"Perjalanan saya masih jauh. Saya akan ambil segala komen negatif itu sebagai cabaran untuk teruskan perjuangan. Setiap orang pasti akan tiba hari jatuhnya. Tapi takkan selama-lamanya," luahnya.

Tambahnya, apa yang penting kini adalah berusaha untuk keluarga dan rakan-rakan yang setia ketika jatuh bangun dalam kariernya.

"Biarlah orang berkata apa mereka suka. Kepada abah, minta maaf sebab saya nasihatkan abah untuk tidak ke stadium malam semalam (Jumaat), kerana saya sudah pun jangka.

"Biarlah 20,000 penonton memaki saya sekali pun. Biarlah saya yang rasa tapi bukan abah. Biar hati saya tercalar, tapi bukan hati abah. Mungkin ujian Tuhan ini akan membuatkan saya lebih kuat dimasa hadapan. Insya-Allah," ujarnya.

Farhan berkata, dia memohon maaf jika kelakuannya menaikkan kemarahan di kalangan penyokong kedah.

"Buat masa sekarang saya cuma perlukan suntikal moral dan bukannya caci maki. Kepada rakan sepasukan saya, saya juga ingin memohon maaf andai saya ada salah dan silap.

"Mereka antara yg terhebat yang pernah saya bekerja di kala naik turun sepanjang karier saya ini. Will come back stronger, Insya-Allah," katanya.