Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Aksi Liga Super pusingan ketiga membabitkan perlawanan antara Kelantan dan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang dijadualkan Sabtu ini sah ditun‎da ke tarikh lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia‎ Limited Liability Partnership, Kevin Ramalingam berkata, pihaknya telah meluluskan permohonan yang dibuat kelab bola sepak JDT.

Melalui surat kelulusan permohonan tersebut katanya, perlawanan dijadualkan pada Sabtu ini akan ditunda ke satu tarikh yang akan dimaklumkan nanti.

"Keputusan dibuat setelah mengambil kira tempoh perjalanan dan persediaan pasukan JDT yang pertama kali akan bersaing dalam aksi kelayakan (play-off) Liga Juara-juara Asia 2017," katanya dalam kenyataan media.

Terdahulu, skuad Harimau Selatan melangkah ke saingan kelayakan (play-off) Liga Juara-juara Asia (ACL) berdepan kelab Gamba Osaka, 7 Februari nanti di Jepun.

Skuad Harimau Selatan itu menyingkirkan kelab Thailand, Bangkok United dengan keputusan 5-4 dalam penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 dalam aksi 120 minit di Stadium Thammasat, malam tadi.

Isu penundaan perlawanan Liga Super itu menjadi topik hangat di media-media sosial sekali gus menimbulkan tanda tanya berikutan tiada kenyataan rasmi dibuat oleh penganjur.

Susulan penundaan tarikh tersebut, ia kali kedua melibatkan pasukan Kelantan selepas aksi pembukaan liga menentang Melaka United terpaksa dibatalkan atas faktor cuaca pada 21 Januari lalu.

Lihat Komen
ADS