Keadaan hujan lebat membasahi padang tiruan Stadium Tun Abdul Razak, di Jengka, Pahang diakhiri dengan keputusan 1-1 dalam aksi Liga Super antara Felda United dan Kedah, sebentar tadi.

Melayan kunjungan skuad Helang Merah, anak buah Azmi Mohamed berdepan tekanan tinggi yang ditunjukkan pasukan pelawat seawal tempoh permainan.

Kedah tampil menguasai bola melalui posisi tengah menggunakan khidmat Liridon Krasniqi dan Baddrol Bakhtiar untuk menghantar serangan demi serangan ke benteng pertahanan tuan rumah.

Felda pula terpaksa bertahan di samping melakukan serangan balas pantas setiap kali mereka berjaya menghalang kemaraan pasukan.

The Fighters terlebih dahulu hampir menghukum Kedah melalui percubaan penyerang mereka Norshahrul Idlan Talaha, tetapi gagal.

Mereka terjerat dengan helah Liridon yang melakukan hantaran panjang memperdayakan beberapa pemain pertahanan sebelum disempurnakan Ken Ilso Larsen untuk gol tunggal Kedah.

Dengan kedudukan 0-1 di minit ke-23 itu, anak buah Tan Cheng Hoe dilihat semakin bersemangat di samping mengekalkan rentak permainan pantas hingga tamat separuh masa pertama.

Di separuh masa kedua, gambaran awal sebaliknya berlaku apabila penguasaan menjadi milik pasukan Felda, manakala Kedah banyak membuka ruang membolehkan tuan rumah melakukan serang.

Percaturan The Fighters sedikit sebanyak memberi tekanan kepada pasukan pelawat yang mungkin agak selesa dengan kedudukan ketika itu.

Kedah tersentak dengan percubaan pemain tengah lawan, Hadin Azman yang melakukan rembatan lencong ke arah kanan gawang diawasi Ifwat Ikmal che Kassim, namun sedikit tersasar.

Walaupun percubaan itu gagal, Hadin tetap muncul sebagai hero pasukannya tiga minit kemudian dengan menyempurnakan gol penyamaan.

Pulau Pinang tewas lagi

Kedudukan 1-1 menyaksikan persaingan lebih sengit, Kedah dilihat tidak terlalu kekok untuk beraksi di atas padang tiruan sebaliknya tetap memberi ancaman kepada Felda United walaupun keputusan itu kekal sehinggan tamat permainan.

Sementara itu di Stadium Perak, Ipoh - skuad Bos Gaurus berjaya mengutip tiga mata penuh menewaskan Melaka United 3-2, manakala Pahang mengatasi Sarawak 1-0 di Stadium Negeri Sarawak.

Pasukan tercorot liga iaitu Pulau Pinang pula merekodkan kekalahan ketiga berturut-turut apabila dikecewakan T-Team dengan jaringan 1-0 pada aksi di Kuala Terengganu.

Keputusan perlawanan malam ini mengekalkan Pahang di tangga teratas liga dengan mengutip tujuh mata diikuti pasukan Perak dengan jumlah mata sama.

Keputusan penuh perlawanan ketiga 
 

Felda United 1-1 Kedah

Perak 3-2 Melaka United

T-Team 1-0 P.Pinang

Sarawak 0-1 Pahang

PKNS FC 5-3 Selangor