Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa mahu tempoh bertenang bagi menjamin keharmonian suasana menjelang pemilihan jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), 25 Mac depan.

Untuk itu, Annuar berkata beliau akan meminimumkan ulasan dan kenyataan sekurang-kurangnya dua minggu sehingga selesai mengerjakan umrah di Makkah.

"InsyaAllah masa itu dapat saya manfaatkan untuk saling berbincang sesama kita, mendengar pandangan dan hasrat hati semua badan gabungan terutama mereka yang bakal mengundi dan juga semua kawan-kawan yang bertanding dalam suasana penuh muhibbah, keterbukaan dan persahabatan," katanya dalam kenyataan di laman Facebook.

Tarikh tutup bagi pencalonan presiden tamat pukul 5 petang semalam, dengan FAM menerima pengesahan dua pencalonan bagi jawatan tertinggi badan induk itu daripada Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Annuar sendiri.

Semalam, Facebook Johor Southern Tigers menyiarkan gambar Tunku Ismail bersama Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dengan mengumumkan Tunku Mahkota Johor itu menjunjung titah ayahandanya bagi bertanding jawatan itu.

Tunku Ismail sebelum ini bersetuju untuk menduduki kerusi panas itu selepas mendapat perkenan ayahanda baginda.

Annuar menjadi calon pertama mengesahkan penerimaan pencalonannya kepada FAM pada 6 Februari lalu.

Pemilihan jawatankuasa baharu badan induk bola sepak negara bagi penggal 2017-2021 akan diadakan pada Kongres FAM ke-53, 25 Mac ini.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin Hamidin pada sidang media di Wisma FAM semalam berkata, kedua-dua calon presiden masih boleh menarik diri daripada pertandingan itu sebelum kongres dijalankan.

Sementara itu, pertandingan bagi jawatan 2 timbalan presiden bakal menyaksikan pertembungan antara 4 calon, manakala 9 calon akan bertanding bagi 4 jawatan naib presiden..