Isu kontroversi melibatkan pemain Kedah, Rizal Ghazali‎ dan Felda United kini berakhir selepas Jawatankuasa Status FAM mengekal pemain pertahanan itu kekal bersama skuad Helang Merah.

Dalam mesyuarat jawatankuasa tersebut hari ini memutuskan kontrak ditangani pemain itu bersama Felda United tidak sah.

Bagaimanapun menurut Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Status, Abdul Aziz Yoep Jamaluddin berkata, pemain terbaik Piala Malaysia 2016 itu turut didenda RM25,000 mengikut Artikel 1(7)(d) Perlembagaan FAM.

"Kontrak tersebut tidak sah kerana dibuat ketika Rizal masih mempunyai baki kontrak bersama Kedah.

"Dia didapati bersalah kerana mempunyai niat untuk untuk berhijrah ke Felda United ketika masih dalam kontrak," katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.

Sebelum ini wujud perebutan antara Felda United dan Kedah ‎timbul selepas pemain berusia 24 tahun itu didakwa memiliki dua kontrak.

Rizal kemudiannya didakwa membuat pusingan U dengan melanjutkan kontrak setahun bersama‎ pasukan Kedah walaupun sudah mencapai persetujuan untuk menyertai skuad The Fighters.

Abdul Aziz berkata, tuntutan Felda United terhadap Rizal berjumlah RM474,000 kerana mendakwa melanggar kontrak juga ditolak.

"‎Rizal boleh membuat rayuan denda yang dikenakan, manakala Felda United juga boleh membuat rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan FAM," jelasnya.