Paling Popular
Terkini
story images
story images

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberitahu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut 'terdesak' untuk melihat perubahan terhadap pasukan bola sepak negara dan Liga Malaysia.

Beliau turut berkata, dalam pertemuan dengan Najib semalam, perdana menteri turut memahami visi dan misi Tunku Ismail yang kini bertanding untuk merebut jawatan Presiden FAM.

"Perdana menteri tahu saya punya agenda dalam bola sepak dan dia boleh nampak potensi.

"Kita juga bincang tentang agenda bola sepak dan dia faham saya punya misi dan visi dan dia tahu dan beri sokongan terhadap idea saya.

"Beliau juga terdesak untuk melihat perubahan terhadap liga dan pasukan bola sepak negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perjumpaan Tunku Ismail bersama penyokong bola sepak tanah air di Grand Hyatt di ibu negara, hari ini.

Selain itu bercakap mengenai peluangnya untuk menjadi presiden FAM, Tunku Ismail berkata beliau 50-50 sama ada akan menang pada pertandingan untuk merebut jawatan tersebut.

Ini kerana, katanya, beliau akan kalah untuk mengambil alih jawatan berkenaan sekiranya wujud unsur 'politik' bagi memenangi kedudukan itu.

"Saya 50-50 sama ada menang jawatan itu sebab saya tahu akan ada unsur politik.

"Kita tak tahu orang politik ini tetapi, kalau ada unsur politik dan sesetengah individu ada proksi mereka, mungkin saya kalah.

"Tapi lepas jumpa Perdana Menteri semalam, tengoklah apa cerita," kata Tunku Ismail tersenyum di hadapan kira-kira 200 orang hadirin.

Lihat Komen
ADS