Perlawanan kelapan Liga Super 2017 malam diteruskan dengan rentak cemerlang pasukan Kedah untuk kembali ke tangga teratas liga mengatasi Pahang di kedudukan kedua.

Menerima kunjungan Melaka United di Stadium Darul Aman sebentar tadi, anak buah Tan Cheng Hoe berjaya menjinakkan skuad Hang Tuah dengan keputusan 4-0.

Ia sudah cukup untuk Helang Merah mengutip tiga mata penuh memastikan mereka terus 'gayat' di kedudukan terbaik liga setakat ini.

Berdepan dengan sorakan semangat ribuan penyokong setia, Kedah berjaya membuka jaringan pada minit ke-33 melalui Ken Ilso Larsen.

Kembali dari bilik persalinan, tuan rumah tidak berlengah untuk mengukuhkan kedudukan. Dengan hadiah sepakan penalti mereka memanfaatkan peluang untuk gol kedua melalui Sandro da Silva di minit ke-48.

Kedudukan 2-0 dilihat menjadi pencetus semangat untuk Sandro dan rakan-rakan meneruskan rentak dengan menguasai permainan.

Beberapa percubaan berjaya dihasilkan walaupun tidak berhasil, namun 30 minit berselang Sandro sekali lagi menambah luka Hang Tuah untuk gol ketiga Kedah.

Hantaran cantik Ahmad Syazwan Zainol bijak disempurnakan Sandro untuk menewaskan penjaga gol Melaka United, Fazli Paat pada minit ke-79.

Menjelang minit-minit akhir perlawanan, giliran Ken Ilso pula sekali lagi menghadiahkan gol penutup untuk pasukannya dengan menyudahkan sepakan bebas dilakukan Sandro.

Keputusan itu menyaksikan 18 mata dipungut penyandang juara Piala Malaysia 2016 dengan perbezaan dua mata mengatasi Pahang.

Sementara itu di Kota Bharu, skuad Kelantan meneruskan rentak positif menewaskan T-Team yang berkesudahan dengan keputusan 4-2.

Pemain import The Red Warrior, Muhammad Ghaddar sekali lagi menjadi watak penting pasukan denagn menjaringkan gol hatrik.

Selain itu, Selangor pula tewas tipis 0-1 berdepan Perak di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, manakala Felda United mengatasi Sarawak dengan jaringan 2-0 di Jengka, Pahang.