Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini menerima arahan terbaru daripada kerajaan untuk tidak membenarkan skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaysia terbang ke Pyongyang, Korea Utara.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, keputusan itu diambil selepas beliau dihubungi Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan disusuli surat daripada kementerian itu hari ini.

Menurutnya, kerajaan Malaysia bersetuju supaya skuad Harimau Malaysia tidak mengambil bahagian untuk perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Korea Utara pada 28 Mac ini atas dasar dan pertimbangan faktor keselamatan.

"Keputusan kerajaan itu dibuat selepas perkara tersebut dibincangkan dalam mesyuarat jemaah menteri yang diadakan baru-baru ini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, FAM menerima surat awal daripada Wisma Putra ditandatangani Menteri Luar Negeri, Datuk Sri Anifah Aman yang menyatakan bahawa venue perlawanan sulung Kumpulan B di Stadium Kim Il-sung, Pyongyang itu dijamin selamat tetapi sebarang perubahan akan dimaklum dari semasa ke semasa.

"Namun keputusan kerajaan Malaysia untuk mengusir keluar Duta Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol pada Sabtu lalu dilihat telah menjadikan situasi semasa tidak selamat untuk warga Malaysia berkunjung ke Korea Utara buat masa ini.

"Berdasarkan arahan terbaharu Kerajaan Malaysia itu menerusi surat yang diterima hari ini, persatuan telah pun menghantar surat kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), sebentar tadi.

"Ia bagi memohon supaya venue perlawanan tersebut ditukar dari Pyongyang ke tempat lain iaitu gelanggang berkecuali atas dasar keselamatan," katanya.

Sementara itu tambah Hamidin, beliau juga menghubungi Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John yang kini berada di Kemboja bagi memaklumkan harapan FAM supaya AFC memberi pertimbangan sewajarnya dan membuat keputusan segera mengenai venue perlawanan baru.

"(Ia) Bagi memudahkan persiapan perjalanan skuad Harimau Malaysia yang akan memulakan latihan pusat pada 13 Mac ini," jelasnya