Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ada 10 hari lagi menjelang hari penting buat industri bola sepak negara yang bakal menyaksikan berlakunya perubahan tampuk kepimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Melalui Kongres FAM ke-53 pada 25 Mac nanti, selain mengubah peneraju jawatan di Wisma FAM, Kelana Jaya, kesan sampingan dilihat turut melibatkan kerusi barisan kejurulatihan skuad kebangsaan.

Kini, Harimau Malaysia dibimbing Datuk Ong Kim Swee yang dilihat kemungkinan besar berdepan tugasan menentang Filipina pada aksi persahabatan 22 Mac ini.

Penangguhan perlawanan antara Korea Utara dan Malaysia pada 8 Jun juga berkemungkinan menyaksikan skuad negara tidak lagi menerima sentuhan daripada jurulatih dari Melaka itu.

Bercakap kepada Malaysiakini, Kim Swee memilih untuk 'berserah' kepada pihak pengurusan FAM mengenai nasibnya sebagai ketua jurulatih.

"Buat masa ini saya masih lagi memegang jawatan jurulatih dan apa yang berlaku selepas kongres tersebut terpulang kepada pihak pengurusan.

"Tugas atau objektif saya (sekarang) adalah untuk fokus kepada perlawanan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Gambaran TMJ

Sebelum ini calon presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi gambaran beliau bakal membawa bekas jurulatih JDT iaitu Mario Gomez untuk membimbing Harimau Malaysia.

Namun, Tunku Mahkota Johor itu perlu berdepan Tan Sri Annuar Musa terlebih dahulu yang turut bertanding bagi jawatan tertinggi badan induk bola sepak negara.

Kim Swee berkata, beliau tetap akan memberi tumpuan untuk meneruskan perancangan sekiranya kepimpinan baru FAM terus memberi kepercayaan kepadanya.

"Itu kita perlu lihat apa yang pihak pengurusan baru inginkan.

"Bagi saya ini lumrah sebagai jurulatih, mana-mana kelab atau persatuan apabila presiden atau pemilik baru datang kemungkinan besar mereka mempunyai perancangan sendiri.

"Saya percaya perancangan mereka adalah untuk kebaikan pasukan masing-masing terutama pasukan negara. Saya harus menerima jika pihak pengurusan baru inginkan orang lain," jelasnya.

Tambah jurulatih berusia 46 tahun itu, jika terus diberi tanggungjawab beliau akan teruskan tujuan dan matlamatnya bagi memperbaiki, bukan hanya mutu bola sepak, tetapi juga ranking Malaysia.

Kim Swee yang juga bekas pengendali Harimau Muda mengambil alih tugas Dollah Salleh sebagai jurulatih skuad kebangsaan sejak 2015 dengan kontrak dua tahun sehingga akhir 2017.

Lihat Komen
ADS