Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
TMJ ambil langkah drastik tukar Kim Swee dengan Gomez

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini terus mengambil langkah drastik sebaik memulakan tugasnya sebagai presiden baru Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Seperti dijangka, janji beliau sebelum ini untuk membawa perubahan dalam bola sepak Malaysia, ternyata akan dikotakan.

Tunku Ismail tampil membuat pengumuman dengan memberi mandat kepada Mario Gomez sebagai ketua jurulatih baru skuad bola sepak kebangsaan.

Keputusan itu sekali gus menggantikan tempat ‎Datuk Ong Kim Swee yang kini diberi tugas mengambil alih skuad bawah 22 tahun yang kini dikendalikan Frank Bernhardt.

Terdahulu, Tunku Ismail dinobatkan sebagai presiden FAM tanpa bertanding selepas pencabarnya Tan Sri Anuar Musa menarik diri daripada merebut jawatan tertinggi badan induk bola sepak negara itu.

"Kim Swee akan digantikan dengan Mario Gomez dan dia boleh memulakan kerja dalam FAM seawal minggu ini," katanya pada sidang media ketika hadir ke kongres yang berlangsung di Petaling Jaya.

Tunku Ismail berkata, pihaknya akan berbincang dengan Bernhardt sendiri mengenai keputusan drastik yang diambil itu.

"Saya mahu pendekatan berbeza daripada apa yang Bernhardt tunjukkan dalam pasukan bawah 22 tahun negara"

"Saya sendiri akan jumpa Bernhardt, kita tengok apa yang dipersetujui nanti," jelasnya ketika ditanya kedudukan jurulatih dari Jerman itu.

Bernhardt dan anak buahnya kini berada di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) bagi menyertai Kejohanan B-23 Piala Dubai bawah 23 dari 20 hingga 28 Mac ini.

Lihat Komen
ADS