Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Kim Swee sedia galas tugas diberikan TMJ
Diterbitkan:  Mar 25, 2017 9:13 PM
Dikemaskini: 1:15 PM

Datuk Ong Kim Swee mengakui terkejut bercampur gembira khidmatnya masih diperlukan untuk membimbing skuad bawah 23 tahun negara selepas tempatnya sebagai pengendali skuad senior diambil alih Mario Gomez.

Bagi Kim Swee, beliau berasa diberi penghargaan kerana khidmatnya masih diperlukan dan bersedia menggalas tugas seperti yang diumumkan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang baharu Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini.

"Saya masih lagi diberi kepercayaan oleh presiden baharu dan amanat ini sangat besar buat saya serta banyak perkara yang perlu saya lakukan terhadap pasukan muda negara.

"Pada waktu yang singkat ini saya harap dapat berjumpa presiden untuk membuat perancangan bagi menghadapi kelayakan Piala Asia Bawah 22 Tahun dan Sukan SEA pada Ogos," katanya kepada pemberita selepas Kongres FAM hari ini.

Tunku Ismail tanpa berselindung melantik bekas jurulatih Johor Darul Ta'zim, Mario Gomez sebagai jurulatih Harimau Malaysia yang baharu.

Jurulatih kelahiran Melaka itu juga berpendapat beliau tidak akan menghadapi sebarang masalah membimbing skuad B-23 negara kerana sudah mempunyai pengalaman sebelum ini.

"Ini merupakan kali keempat saya bersama pasukan Sukan SEA dan ini memberi saya banyak pengalaman dan kelebihan.

"Tempoh masa lebih kurang lima bulan sebelum Sukan SEA bukan masa yang lama, namun skuad B-23 negara sudah mula berlatih sejak awal tahun dan itu akan memberikan sedikit kelebihan," katanya.

Sebagai rekod, Kim Swee pernah membawa skuad negara memenangi pingat emas Sukan SEA 2011 Jakarta apabila menewaskan pasukan tuan rumah menerusi sepakan penalti 4-3 setelah perlawanan terikat 1-1.

-Bernama

Lihat Komen
ADS