Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

"Tan Cheng Hoe telah buat perubahan besar dalam pasukan Kedah, kami banyak belajar perkara baru," kata seorang pemain Kedah apabila ditanya perasaannya ketika masa depan jurulatih itu hangat diperkatakan.

Menurutnya, rasa sayang kepada pengendali skuad Helang Merah tetap menebal dan besar harapan supaya Cheng Hoe kekal di bumi Jelapang Padi itu.

"Kalau boleh kami tak mahu beliau tinggalkan Kedah ketika prestasi pasukan sedang meningkat. Ada kerisauan timbul, bimbang berlaku kerencatan dalam pasukan.

"Namun jika pilihannya meninggalkan Kedah, kami tetap hormati demi skuad bola sepak kebangsaan," katanya yang enggan nama didedahkan.

Terdahulu, Cheng Hoe disebut-sebut akan menggalas tanggungjawab sebagai penolong jurulatih skuad Harimau Malaysia.

Malah, beliau sudah memberikan notis perletakan jawatan sebagai pengendali Kedah kepada Persatuan Bola Sepak Kedah.

Situasi kurang jelas

Bagaimanapun, kini wujudnya situasi kurang jelas mengenai nasib jurulatih berusia 49 tahun itu.

Ia susulan dakwaan calon ketua jurulatih Malaysia, Mario Gomez yang mengatakan Cheng Hoe bukan pilihannya dan bekas jurulatih JDT itu juga belum sah akan mengemudi skuad negara.

Sementara itu, Cheng Hoe dilaporkan masih memberi sentuhannya kepada barisan pemain Kedah dalam sesi latihan yang dijalankan semalam.

Mereka tetap fokus dalam persediaan untuk menghadapi perlawanan Liga Super menentang kelab PKNS FC, pada Sabtu ini.

"Ya, selepas perlawanan suku akhir Piala FA. Saya dan rakan-rakan sepasukan terus fokus untuk perlawanan Sabtu ini.

"Diharap kita dapat teruskan rekod tanpa kalah," katanya.

Lihat Komen
ADS