Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
FAM cari jurulatih baru Harimau Malaya
Diterbitkan:  Apr 6, 2017 5:48 PM
Dikemaskini: 10:15 AM

Badan induk bola sepak negara hari ini membuat keputusan untuk mencari individu lain sebagai jurulatih skuad kebangsaan sekali gus membatalkan hasrat untuk menggunakan khidmat Mario Gomez.

Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata pihaknya akan mencari individu lain yang betul-betul mahu menjadi jurulatih Malaysia.

"Saya dimaklumkan bahawa Gomez menafikan bahawa beliau meminta gaji yang tinggi. Kami menawarkan (Dolar Amerika) USD25,000 (RM111,000) kepada beliau tetapi beliau minta USD40,000 (RM177,000).

"Adakah itu bukan beliau meminta lebih daripada apa yang kami tawarkan? Tidak mengapalah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor memilih bekas jurulatih JDT itu untuk mengendali skuad Harimau Malaya sebaik dilantik menerajui FAM 25 Mac lalu.

Bagaimanapun, tiada kata sepakat diputuskan selepas Gomez dikatakan menuntut gaji yang tinggi walaupun dia menafikan dakwaan tersebut.

Tunku Ismail berkata, beliau sudah menetapkan satu polisi di mana setiap jurulatih luar negara perlu dibantu oleh jurulatih anak tempatan.

"Bukankah Tan Cheng Hoe sekarang adalah jurulatih anak tempatan yang bagus? Saya sedang melakukan kerjasama yang terbaik untuk skuad kebangsaan tetapi penyokong semua bising kata 'jangan ambil dialah', 'pilih orang lainlah'.

"Kami telah memulakan projek ini dan meminta beberapa nama untuk dipilih, dan nama Tan Cheng Ho tersenarai dan dilihat sebagai jurulatih yang terbaik buat masa sekarang.

"Bukankah untuk memilih yang terbaik bagi membimbing pasukan kebangsaan adalah keutamaan kita? Betulkah anda semua sayangkan pasukan kebangsaan?

"Dan betulkah anda semua inginkan perubahan? Apa yang anda semua nak sebenarnya?" soal beliau.

Terdahulu nama Chneg Hoe yang juga jurulatih Kedah diberi perhatian selepas beliau ditawarkan untuk menjadi penolong juurlatih Malaysia sekali gus memberi notis perletakan jawatan kepada Persatuan Bola Sepak Kedah.

Ubah Pemikiran

Sementara itu, Tunku Ismail berkata, pada masa ini penyokong dan media telah diberikan keistimewaan untuk bertanya dan meminta sendiri kepada Presiden mengenai apa sahaja yang ingin diketahui dan pada bila-bila masa sahaja.

Malah menurutnya, tahap ketelusan dan maklumat yang dikongsikan dalam masa 11 hari menjadi presiden adalah lebih banyak daripada apa yang diperolehi sejak 30 tahun.

"Dan anda semua masih lagi 'complaint'. Inilah dia pemikiran bola sepak Malaysia. Kejayaan bukanlah mustahil, mengubah pemikiran ini sebenarnya ibarat sebuah pertempuran. Suatu waktu dahulu semua mahukan sangat perubahan, hendak itu hendak ini.

"Sekarang perubahan telah dilakukan dan sudah tahu apa punca dan masalah dari dalaman. Tahu bagaimana kita hendak mengubah struktur, tahu bagaimana hendak dipertingkatkan, dan pada masa sama pasukan lain juga perlulah bersikap profesional.

"Terdapat sesetengah pasukan tidak boleh diambil tindakan atas kesalahan yang dilakukan kerana atas dasar berkawan rapat dengan exco, dan kerana undi merekalah exco tersebut dapat jawatan tersebut. Maka, ia membuatkan exco tersebut jadi tidak berani untuk mengambil tindakan," jelasnya.

Tambah pemilik kelab JDT itu, kalau beginilah keadaannya (beliau) kena sentiasa menjaga hati semua pihak.

"Memang takkan ke manalah bola sepak Malaysia. Kalau masih tidak boleh mengubah pemikiran, masih hendak jaga hati kawan, kena tindakan denda pun tak boleh walau telah melanggar syarat dan peraturan, jadi lupakan sahaja perubahan.

"Sejak 30 tahun dahulu 'complain' kerana tak boleh hendak cakap apa-apa dan tak tahu perkembangan persatuan. Sekarang apabila dah tahu pun masih 'complain'.

"Saya akan sentiasa menjalankan tugas saya kerana saya bukanlah seorang yang hanya pandai berkata-kata di laman sosial tetapi tidak memberi satu sumbangan kepada kemajuan bola sepak tanah air," tegas Tunku Ismail.


 

Lihat Komen
ADS