Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Tok Gajah bangkit gomo TRW, Kedah ikat PKNS FC
Diterbitkan:  Apr 8, 2017 11:02 PM
Dikemaskini: 3:31 PM

Skuad bola sepak Pahang tampil cemerlang meneruskan saingan dalam Liga Super 2017 dengan kemenangan tipis berdepan skuad Kelantan di Kota Bharu, sebentar tadi.

Anak buah Dollah Salleh membawa pulang tiga mata sekali gus mendaki puncak liga mengatasi pasukan Kedah di kedudukan kedua dengan masing-masing mengutip 19 mata selepas sembilan perlawanan.

Pahang pada awalnya ketinggalan 1-0 di separuh masa pertama sebelum membuat kebangkitan di babak masa kedua untuk meraikan kemenangan 2-1 mereka.

Aksi di Stadium Sultan Muhammad IV itu, skuad Tok Gajah awalnya dilihat tertekan dengan dominasi pasukan The Red Warriors (TRW).

Badri Radzi dan rakan-rakan tampil dengan tempo permainan pantas kerap kali menguji benteng pertahanan pasukan pelawat.

Disusuli jaringan penyerang import, Mohammed Ghaddar pada minit ke-16 menjadi pemisah sementara sekali gus menggembirakan ribuan penyokong tuan rumah.

Menerima umpanan melalui hantaran terus pantas Indra Putra Mahyuddin, Ghaddar berjaya mengawal bola di kawasan kotak penalti sebelum meledak deras menewaskan Wan Azraie Wan Teh.

Namun, 45 minit kedua keadaan sebaliknya berlaku apabila anak buah Dollah melakukan kebangkitan segera dengan membolosi dua gol ke gawang tuan rumah dalam tempoh tiga minit.

Minit ke-59, penjaga gol Kelantan Khairul Fahmi Che Mat tumpas kepada rembatan bekas rakan sepasukannya Wan Zaharulnizam Zakaria yang menjaringkan gol penyamaan untuk Pahang.

Pemain sayap kiri yang mesra dipanggil 'Kecik' itu menerima hantaran rakan sepasukan bijak memperdayakan pemain pertahanan lawan sebelum melakukan rembatan kencang mengatasi Khairul Fahmi.

Kedudukan 1-1 itu tidak bertahan lama, Tok Gajah tampil menggandakan jaringan tiga minit berselang melalui Matheus Alves di minit ke-62.

Keputusan itu sekali gus meletakkan Pahang di tangga teratas liga yang berkongsi mata sama dengan pasukan Kedah.

Sementara itu di Stadium Darul Aman, Alor Setar menyaksikan Zach Anderson menjadi menyelamat skuad Helang Merah untuk mengekalkan rekod tanpa kalah berdepan kelab PKNS FC.

Pasukan pelawat tampil mengejutkan tuan rumah pada minit ke-29 melalui sentuhan Lucas Espindola untuk jaringan tunggal mereka.

Kedudukan 0-1 itu bagaimanapun hanya kekal selama lapan minit apabila pasukan tuan rumah tampil menyamakan kedudukan pada minit ke-37 untuk keputusan kekal 1-1 sehingga tamat perlawanan.

Dua lagi aksi malam ini menyaksikan Perak diikat T-Team dengan keputusan 2-2, manakala Selangor mengatasi Sarawak 2-1.

Lihat Komen
ADS