Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Pemain Melaka United 'diancam' potong gaji
Diterbitkan:  Apr 15, 2017 3:10 PM
Dikemaskini: 7:12 AM

Pemain skuad bola sepak Melaka United berdepan dengan potongan gaji andainya gagal memperbaiki mutu permainan dalam baki dua perlawanan di pusingan pertama Liga Super.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Yusoff Mahadi berkata pihaknya menangguhkan potongan gaji walaupun selepas memberikan dua amaran kepada pemain kerana mahu memberi peluang untuk mereka berubah.

"Potongan gaji itu termaktub dalam kontrak pemain dan MUSA telah dua kali memberikan amaran kepada beberapa pemain yang gagal mempamerkan aksi cemerlang sepanjang saingan Liga Super," katanya kepada pemberita di Melaka semalam.

Beliau berkata demikian selepas sesi dialog pengurusan bersama penyokong di Stadium Hang Jebat.

Yusoff yang juga Timbalan Presiden FAM berkata skuad Melaka United sebenarnya mempunyai barisan pemain yang bagus, namun mereka gagal bermain sebagai satu pasukan.

"Mentaliti untuk membantu pasukan menang semakin kurang menyebabkan prestasi Melaka United kian merosot kebelakangan ini," katanya sambil menambah skuad itu juga memerlukan sokongan daripada semua pihak termasuk penyokong sendiri.

Menurutnya, amaran keras turut diberikan kepada jurulatih, Eric Williams yang gagal membuat perubahan dalam pasukan.

"Kita harap perubahan corak permainan dan strategi baharu yang bakal dilakukan Eric mampu membawa kemenangan pertama di laman sendiri pada aksi menentang Felda United esok," katanya.

Sementara itu, Yusoff menyifatkan sesi dialog dengan penyokong itu berjaya apabila mendapat kerjasama kelab penyokong.

"Sebelum ini kita tidak tahu apa yang kelab penyokong perlukan namun hari ini kita telah berbincang secara bersemuka bagi memperbaiki hubungan dengan mereka," katanya.

Beliau juga berharap kerjasama dengan penyokong dapat diperhebatkan lagi selepas ini kerana penyokong adalah tulang belakang sesebuah pasukan.

-Bernama

Lihat Komen
ADS