Slingers benamkan Lions dalam perlawanan pertama final
ABL FINAL I Singapore Slingers membuktikan sekali lagi keupayaan mereka pada perlawanan pertama dalam aksi final apabila mengalahkan pasukan yang baru menyertai liga bola keranjang Asean Basketball League (ABL) musim ini, Hong Kong Eastern Long Lions.
Slingers mudah menewaskan Lions 92-76 dalam perlawanan akhir pertama yang diadakan di Southorn Stadium Wan Chai, Hong Kong.
Pasukan Singapura itu sebelum ini mengalahkan Alab Pilipinas dalam aksi playoffs, manakala Lions mengalahkan Saigon Heat bagi melayakkan diri ke final.
Perlawanan akhir antara kedua-dua pasukan ini akan mengambil kira tiga perlawanan terbaik daripada lima perlawanan.
Suku pertama perlawanan agak sengit bagi kedua-dua pasukan, tetapi berakhir dengan Slingers di hadapan Lions, 21-24.
Lions kembali di hadapan pada tiga minit terakhir suku kedua selepas jaringan Steven Guinchard, menjadikan kedudukan 41-40.
Namun, Slingers tidak mudah membiarkan tuan rumah Lions selesa. Sorakan kuat penyokong Lions tidak mampu 'menggertak' Slingers langsung apabila mereka cuba menjaringkan penalti.
Hanya selang satu minit sahaja, Slingers menamatkan suku kedua dengan 41-46 selepas jaringan Howard di bawah jaring.
Dalam saat akhir ketika posisi serangan, Xavier Alexander tidak dapat menamatkan separuh masa pertama dengan sebarang jaringan. Justin Howard pula mendapat 26 mata dan 15 rebounds manakala Tyler Lamb dari Lions pula mendapat 18 mata.
Peluang untuk Lions menebus defisit mata tidak kesampaian dari permulaan suku ketiga apabila Slingers mula menjauhkan kutipan mata sebanyak 13 mata, 42-55, selepas jaringan tiga mata Joshua Urbiztondo.
Sungguhpun pemain Lions, Marcus Elliot cuba mengembalikan penguasaan dengan dua jaringan tiga mata tetapi tidak mampu menangkis Slingers pada akhir suku ketiga, 58-68.
Slingers menguasai suku terakhir dengan 19 mata di hadapan Lions, 67-86. Hong Kong Lions semakin hilang fokus dan stamina bagi mengurangkan jurang apabila kerap melakukan kesilapan mudah.
Slingers mengambil kesempatan itu untuk menjarakkan lagi pungutan mata bagi menamatkan perlawanan.
Justin Howard dari Slingers muncul pemain terbaik dengan jaringan 45 mata dan 28 rebound. Perlawanan kedua akan berlangsung pada 18 April ini di Hong Kong dan perlawanan ketiga pula di Singapura pada 21 April.

