Kaedah baru saingan sepak penalti akan diuji
Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) menyataka sokongan terhadap format baru saingan sepakan penalti dalam perlawanan bola sepak.
Perubahan itu bakal diuji dalam perlawanan Piala Liga England (EFL Cup) pada musim ini.
Ia melibatkan aspek susunan pemain yang mengambil sepakan penalti yang selama ini menggunakan sistem giliran A-B-A-B.
Namun, sistem yang akan diperkenalkan ini akan berubah menjadi turutan A-B-B-A.
Ini bermakna pemain pertama pasukan A melakukan tendangan pertama, diikuti tendangan dua pemain pasukan B berturut-turut dan sepakan keempat akan kembali kepada pemain pasukan A.
IFAB dalam kenyataan dilaporkan berkata, pemain pasukan yang melakukan tendangan kedua untuk pasukan masing-masing akan berada dalam tekanan lebih mencabar.
Ketua Pegawai Eksekutif EFL Cup, Shaun Harvey berkata, pihaknya mengalu-alukan inovasi itu dalam kejohanan tersebut.
"Saya gembira EFL boleh memainkan peranan dalam perkembangan bola sepak yang penting ini," katanya.
"Jadi kami mahu lihat sama ada sistem baru ini memberi kesan pada salah satu isu yang paling banyak dibincangkan dalam bola sepak.
"Kita semua mahukan perlawanan bola sepak diputuskan secara adil dan konsisten. Saya yakin sistem baru ini akan menambah daya tarikan dalam perlawanan," tambah Harvey.

