Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Skuad bola jaring negara ke separuh akhir
Diterbitkan:  Aug 18, 2017 7:26 PM
Dikemaskini: 11:28 AM

Skuad bola jaring negara gah menempatkan diri ke separuh akhir apabila dengan mudah menewaskan Filipina di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur hari ini.

Kemenangan bergaya 96-11, skuad negara bimbingan jurulatih dari Australia, Tracey Robinson itu menyaksikan mereka bakal membuat perhitungan di pentas separuh akhir esok.

Pada minit pertama permainan, penjaring berbisa gandingan Norashikin Kamal Zaman dan L Karishma dengan gaya bersahaja mendapatkan gol awal melalui beberapa gerakan menembusi benteng pasukan lawan.

Dalam suku kedua perlawanan, skuad negara yang dibarisi pemain tinggi lampai terus menampilkan aksi bertenaga dengan mengekalkan rentak permainan, sekali gus menamatkan permainan babak kedua dengan menambah 24 mata tambahan berbanding dua mata oleh Filipina.

Seolah-olah mula mendapat rentak selepas itu, Malaysia terus menggandakan asakan dan hasilnya mereka memperoleh 25 mata tambahan pada suku ketiga manakala Filipina sekadar menambah tiga mata tambahan.

Malaysia terus menyerang untuk memburu mata tambahan pada suku terakhir permainan apabila jauh meninggalkan pasukan lawan sejak suku pertama permainan.

Akhirnya, skuad negara yang juga pemegang pingat perak edisi 2015, melengkapkan kemenangan bergaya selepas tamat suku terakhir.

"Saya sangat gembira dengan kombinasi mereka (Norashikin dan Karishma) hari ini. Mereka bermain dengan hebat sekali.

“Saya sangat bangga dan gembira mengemudi pasukan ini. Saya mahu yang terbaik untuk mereka,” kata Robinson kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Sementara itu, pemain posisi tengah, Nur Fariha Abdul Razak memuji semangat rakan sepasukan dan berharap dapat merealisasikan hasrat menggenggam emas negara untuk acara itu.

"Setiap kali perlawanan kami pastikan aksi terbaik namun dalam masa sama, kami sesekali tidak memandang rendah kemampuan pihak lawan," katanya.

Empat pasukan teratas akan mara ke peringkat separuh akhir esok.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS