Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Skuad renang berirama Malaysia raih 2 emas, 3 perak

SUKAN SEA| Skuad renang berirama menutup tirai perjuangan pada temasya Sukan SEA 2017 dengan meraih dua emas dan tiga perak.

Skuad itu menambah koleksi pingat perak menerusi acara rutin bebas berpasukan malam ini.

Skuad negara berjaya meraih 73.0667 mata selepas mempamerkan aksi bertenaga yang mendapat sorakan gemuruh daripada para penonton.

Setiap gerak tari lapan perenang negara mendapat tepukan dan sorakan daripada penonton yang memenuhi Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil.

Skuad negara diwakili lapan perenang iaitu Chai Jia Yue, Foong Yan Yue, Gan Zhen, Lee Yiat Lum, Lee Yiat Xin, Mandy Lim Jia Jia, Nur Liyana Nadhirah Mohd Fairuz dan Ong Jie Wen.

Barisan perenang berirama negara meraih 22.400 mata untuk ketepatan, 28.6667 mata untuk penghayatan dan 22.0000 untuk aspek darjah kesukaran.

Tumpuan penonton terarah ke papan markah selepas Singapura dan Malaysia, dua pasukan yang mendominasi acara renang berirama di temasya KL2017 kali ini.

Pasukan Singapura mengungguli acara rutin bebas berpasukan selepas mengumpul 75.1333 mata, 2.0666 mata di hadapan manakala gangsa pula dimenangi pasukan Indonesia dengan 71.4667 mata.

Skuad Singapura diwakili Debbie Soh Li Fei, Miyq Yong Hsing, Gwyneth Goh Xiao Hui, Ariel Sng Kai Lin, Rachel Thean Rae Sze, Christine Mok Tze Yin, Hannah Chiang Yi Min dan Vivien Chiang Wen Ting.

Thailand terpaksa berpuas hati di tempat keempat dengan 65.4333 mata.

Hanya empat pasukan mengambil bahagian dalam acara terakhir yang dipertandingkan dalam kategori renang berirama pada temasya Sukan SEA kali ini.

Lihat Komen
ADS