Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Ultras Malaya janji tak hina lawan
Diterbitkan:  Aug 25, 2017 11:35 PM
Dikemaskini: 3:39 PM

SUKAN SEA I Kelab penyokong bola sepak terbesar Malaysia, Ultras Malaya berjanji tidak akan menghina pasukan lawan semasa perlawanan separuh akhir bertemu pasukan Indonesia malam esok.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Hamidin Mohd Amin berkata, jaminan itu diberikan semasa pertemuan badan induk bola sepak itu dengan dua wakil Ultras Malaya - Rambo dan Mizi hari ini.

Pertemuan itu dibuat susulan aduan rasmi diterima berhubung laungan yang dianggap menghina negara pasukan lawan pada perlawanan bola sepak lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 baru-baru ini.

"Kami kesal dengan apa yang berlaku dan atas dasar persahabatan sesama negara ASEAN, kami telah mencapai persetujuan bersama dan juga jaminan bahawa chant seumpama itu tidak akan dilakukan lagi oleh Ultras Malaya pada baki perlawanan Sukan SEA 2017 ini.

"Bermula dengan separuh akhir bertemu Indonesia, malam esok dan juga final pada Selasa ini jika Malaysia layak.

"Malah, langkah awal sebenarnya sudah pun diusahakan pihak Ultras Malaya yang tidak melaungkan chant berkenaan ketika perlawanan terakhir Kumpulan A bertemu Laos, Rabu lalu," jelasnya dalam kenyataan media.

Beliau berkata FAM menghargai sokongan padu daripada Ultras Malaya yang telah menghidupkan suasana perlawanan di stadium dan pada masa sama membantu menaikkan semangat para pemain.

Peminat Malaysia sebelum ini menerima kritikan kerana melaungkan "Singapore anjing" semasa perlawanan Kumpulan A pada 22 Ogos lalu, yang menyaksikan tuan rumah menang 2-1.

Lihat Komen
ADS