Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

SUKAN SEA| Hasrat mahu membalas sokongan padu penyokong mendorong Julian Yee menamatkan saingan luncur ais lelaki dengan kejayaan merangkul emas dalam acara ‘figure skating’ Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di Ice Arena, Empire City, di sini hari ini.

Julian, selaku peserta finalis dua kali pada Kejuaraan Dunia, berjaya mengikut tempo lagui perlahan dan rancak untuk menambat hati juri dengan menghuni tangga teratas daripada sembilan peserta dengan 132.40 mata dalam acara bebas untuk mengumpul jumlah 205.43 mata secara keseluruhan.

Peserta Filipina, Michael Christian Martinez memenangi pingat perak selepas ketinggalan 33.8 mata daripada Julian dengan catatan 171.63 mata makala seorang lagi wakil negara, Chew Kai Xiang merangkul gangsa dengan mengumpul 145.52 mata secara keseluruhan.

“Sokongan penonton begitu hebat yang menyuntik semangat...ini mendorong saya untuk menampilkan yang terbaik untuk mereka,” kata peluncur ais berusia 20 tahun itu.

Julian mendominasi saingan luncur bebas yang berdurasi 4 minit 30 saat dengan mengumpul 132.40 mata manakala dalam saingan program pendek pula, peluncur negara itu turut berada di tangga pertama dengan catatan 73.03 mata.

Katanya, selepas ini, beliau akan cuba melakukan yang terbaik pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018 di Jerman, bulan depan.

Bagi kategori wanita pula, nasib tidak menyebelahi atlet negara Aneeta Lingam dan Aina Sorfina Mohd Aminudin yang menduduki tempat kelima dan terakhir dengan jumlah mata terkumpul masing-masing 82.68 dan 69.30.

Pingat emas dan perak diraih atlet Singapura, Shuran Yu dan Chloe Xuanling Ing dengan masing-masing mengumpul mata penuh 135.52 dan 128.61, manakala wakil tunggal Filipina dalam acara itu, Alisson Krystle Perticheto memenangi pingat gangsa dengan 113.40 mata.

Sebagai tuan rumah, Malaysia melakar sejarah apabila luncur ais diperkenalkan buat pertama kali di temasya sukan dwitahunan itu.

-Bernama

Lihat Komen
ADS