KL2017: Hampir 800 sampel urin atlet diuji
SUKAN SEA | Jawatankuasa Perubatan dan Antidoping Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) mengumpul 788 sampel urin dan 32 sampel darah daripada atlet selepas temasya 17 hari itu melabuhkan tirainya hari ini.
Ketua jawatankuasa itu, Datuk Dr S S Cheema berkata kesemua sampel terbabit akan dihantar segera sebaik selesai acara yang dipertandingkan ke makmal Agensi Antidoping Dunia (Wada) di New Delhi, India, yang kosnya lebih murah berbanding makmal di Bangkok, Thailand.
“Kami boleh dapat keputusan dalam tempoh 48 jam selepas sampel dihantar ke makmal di India, tetapi kami harus menunggu laporan rasmi sekurang-kurangnya 10 hari.
“Laporan penuh yang saya dapat dari makmal kemudian akan dibentangkan kepada Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) dalam mesyuarat majlis akan datang,” katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur.
Dr Cheema yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perubatan dan Doping Majlis Olimpik Malaysia berkata bilangan sampel urin dan darah yang diambil pada KL2017 lebih tinggi kerana jumlah sukan dan acara yang dipertandingkan sedikit meningkat berbanding edisi 2015 di Singapura.
Dua tahun lalu lebih 600 sampel urin diambil daripada atlet.
Malaysia menganjurkan 38 sukan dan 404 acara berbanding 36 sukan dan 402 acara pada Sukan SEA di Singapura dua tahun lepas.
“Kami bukan saja menjalankan pemeriksaan doping kepada semua pemenang pingat tetapi kami juga turut mengambil sampel atlet dalam beberapa sukan yang mempunyai sejarah kesalahan doping, tetapi saya tidak boleh mendedahkan sukan itu.
“Saya cukup berpuas hati kerana semua pihak termasuk atlet memberi kerjasama penuh apabila kami melakukan ujian urin dan juga pemeriksaan darah semasa KL2017,” kata Dr Cheema yang juga ahli Jawatankuasa Perubatan dan Doping SEAGF sejak 2007.
Beliau juga mendedahkan 150 pasukan petugas termasuk 79 kawalan antidoping Agensi Antidoping Malaysia (ADAMAS) dan 50 sukarelawan terlibat dalam mengumpul sampel urin dan darah daripada atlet pada temasya dwitahunan itu.
- Bernama

