Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
PBSMM harap TMJ pulihkan Piala Emas Raja-Raja
Diterbitkan:  Sep 20, 2017 1:33 PM
Dikemaskini: 5:41 AM

Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM) berharap kepimpinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang diterajui Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim diharap dapat memulihkan dan meningkatkan prestij pertandingan Bola Sepak Piala Emas Raja-Raja.

Naib Presiden Datuk Ramlan Askolani berkata minat mendalam Tunku Ismail terhadap bola sepak tidak dinafikan dan diharap baginda tidak memberi tumpuan terhadap Liga Malaysia sahaja.

“Pertandingan Piala Emas Raja-Raja boleh ditingkatkan jika FAM menambah dana kepada PBSMM untuk diagihkan kepada negeri-negeri selain tempoh pertandingan dipanjangkan.

“Saya yakin jika perkara ini dipenuhi, kita mampu mengangkat prestij Piala Emas Raja-Raja ke tahap lebih tinggi,” katanya kepada pemberita selepas jamuan malam ‘Selamat Datang’ untuk pasukan dalam kumpulan A yang dihoskan Persatuan Bola Sepak Melayu Perlis (PBMPs) di Kangar, malam tadi.

Pasukan itu ialah Perlis, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Penjara Malaysia dan Kuala Lumpur. Perlawanan diadakan hari ini, esok dan Sabtu. Dua pasukan teratas akan mara ke pusingan kedua.

Katanya Persatuan Bola Sepak Melayu Negeri-negeri tidak mempunyai dana mencukupi untuk mengurus dan membentuk pasukan khususnya bagi membayar elaun latihan kepada para pemain.

“Kami merancang menganjurkan pertandingan Bola Sepak Nusantara membabitkan negara-negara di rantau ini yang mempunyai masyarakat Melayu. Cadangan ini boleh menjadi kenyataan dalam masa empat atau lima tahun lagi jika PBSMM mendapat penaja dan mempunyai dana yang mencukupi,” tambahnya.

Ramlan yang juga bekas pemain kebangsaan pada tahun 1980-an berkata pertandingan Piala Emas Raja-Raja telah melahirkan ramai pemain berbakat sehingga mewakili negara pada pertandingan antarabangsa dan tidak seharusnya dianaktirikan oleh FAM.

Sementara itu Presiden PBMPs, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad berkata tempoh masa pertandingan yang pendek menyebabkan penaja tidak berminat menaja pasukan-pasukan bertanding.

“Oleh kerana sukar mendapat penaja, pertandingan Piala Emas Raja-Raja diibarat ‘hidup segan mati tak mahu’ namun boleh di atasi jika FAM menyuntik dana yang mencukupi,” kata bekas naib presiden FAM selama dua penggal itu yang juga merupakan timbalan presiden FAM selama satu penggal.

Katanya tempoh pertandingan tahun ini yang dipanjangkan sehingga tiga bulan dari September hingga November akan menjadi titik tolak untuk PBSMM menyusun semula pertandingan di samping menarik minat penaja dan mendapat peluang liputan termasuk siaran televisen lebih meluas.

“PBSMM merupakan persatuan tertua dan kita tidak mahu pertandingan Piala Emas Raja-Raja berkuburkan begitu sahaja,” kata Redzuan yang menyandang jawatan Presiden PBMPs sejak 1976.

-Bernama

Lihat Komen
ADS