Liverpool mungkin tidak digemari semua peminat bola sepak, namun semua orang buat masa ini mungkin boleh bersetuju - pertahanan The Reds sangat rapuh.

Di kedudukan 10 pasukan teratas EPL, Liverpool begitu menonjol statusnya sebagai kelab paling banyak dibolosi lawan dengan 11 jaringan berbanding gol yang mereka cipta, 12.

Lima daripada gol yang membolosi pertahanan Liverpool disumbangkan oleh kelab Manchester City.

Secara bandingan kelab di kedudukan ke-10, West Brom, cuma dibolosi empat kali, manakala pasukan teratas - Manchester City, hanya dua kali.

Perlawanan kelmarin membuktikan kekuragan The Reds.

Mendahului 2-0 dan kemudian 3-1, anak buah Jurgen Klopp nyaris diaibkan Leicester City di Stadium King Power.

Peminat Liverpool wajar 'berterima kasih' kepada Jamie Vardy kerana gagal menyempurnakan tendangan penalti di penghujung pelawanan.

Jika tidak pasti The Reds akan menggigit jari kerana 'menolak rezeki' tiga mata ketika bertanding ke gelanggang lawan.

Ditanya mengenai masalahnya Klopp mengakui mereka membenarkan terlalu kerap gawang digegarkan.

"Memang tak syak lagi.

"Biasanya saya seorang pengurus yang sangat baik dalam aspe pertahanan tetapi nampaknya ketika ini saya tidak cukup baik," katanya.

Tetap yakin pada skuadnya

Bagaimanapun Klopp berkata apa yang dilakukannya sekarang adalah untuk kepentingan disiplin taktikal.

"Saya tak tahu semua tentang bola tapi beri saya masa dua jam, saya akan siapkan satu buku mengenai di mana kelemahan pertahanan yang perlu kami atasi, bila dan mengapa.

"Saya juga boleh jelaskan bila anda perlu memberi tekanan kepada pihak lawan," katanya seperti dilaporkan akhbar Daily Telegraph hari ini.

Kerapuhan pertahanan Klopp juga menyaksikan kelab itu tersingkir daripada saingan Piala Carabao (dulu dikenali sebagai Piala Liga) apabila diaibkan Liecester City 2-0 pada 19 September lalu.

Benteng pertahanan Liverpool buat masa ini diserahkan kepada Dejan Lovren dan Joel Matip namun mereka dinilai begitu lemah ketika berdepan dengan asakan lawan.

Pun begitu Klopp tetap yakin dengan skuad yang ada bersamanya kini.

"Saya bukan saja yakin dengan pemain di barisan depan, tapi seluruh skuad.

"Saya tahu kami perlu menuai hasil dan saya amat menyayangi pasukan yang ada ini. Kami boleh mengubah keadaan bersama-sama," katanya.

Dia juga percaya kemantapan serangan bukan satu-satunya bentuk pertahanan.

"Lakukan serangan dengan sebaik mungkin, justeru itulah pertahanan yang paling ampuh," katanya.