Selama 284 hari berlalu dengan 30 perlawanan sejak kali terakhir Machester City tewas, dan semuanya tamat awal pagi tadi di tangan Liverpool.

Walaupun hampir-hampir mempertahankan rekod hebat itu - terutama dalam 10 minit terakhir yang penuh mendebarkan - pasukan kendaian Pep Guardiola itu akhirnya terpaksa tunduk dengan keputusan 3-4.

Perlawanan berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan kekal dengan gaya mereka iaitu menyerang. Tiada pasukan yang meletakkan 'bas' di depan pintu gol - strategi yang memang tidak salah tetapi maha membosankan.

Liverpool membuka jaringan seawal minit kesembilan melalui sepakan kencang bekas pemain Arsenal, Alex Oxlade-Chamberlain. Leroy Sane kemudian menyamakan kedudukan buat City lima minit sebelum tamat separuh masa pertama.

Namun drama sebenar bermula pada separuh masa kedua.

Kecelaruan pertahanan Manchester City selama 10 minit ternyata menghukum, dengan Liverpool menjaring tiga gol masing-masing melalui Roberto Firmino, Sadio Mane dan Mohamed Salah.

Oxlade-Chamberlain - yang dilihat sebagai satu kegagalan ketika bersama Arsenal - turut membantu gol kedua Liverpool apabila hantarannya disambut dan disudahi kemas oleh Firmino.

Masuk 10 minit terakhir perlawanan, dengan keputusan 4-1.

Sekali lagi, tiada 'bas' di depan pintu gol tuan rumah walaupun dengan kelebihan tiga gol.

Jadi kelemahan utama

Namun Liverpool tetaplah Liverpool yang tidak membenarkan penyokongnya gembira sebelum wisel penamat dibunyikan.

Manchester City pula tetap sebuah pasukan yang kini mendahului liga dengan kelebihan 15 mata.

Kerapuhan pertahanan pasukan lawan, terutama di dalam kotak penalti, membolehkan mereka merapatkan jurang kepada hanya satu gol.

Keputusan 3-4. Serangan terakhir daripada Manchester City, melalui sepakan percuma yang sememangnya menjadi kelemahan utama pertahanan The Reds.

Jika ini berlaku pada musim lalu, pastinya ramai yang bertaruh perlawanan akan berakhir seri.

Namun nasib menyebelahi Liverpool - suatu hal yang tidak boleh diperkatakan pada musim-musim lalu - apabila tandukan rendah Sergio Aguero tersasar.

Ujian pertama, paling sukar

Wisel penamat dibunyikan, dan Liverpool berjaya membalas dendam tewas 5-0 di tangan pasukan itu pada separuh pertama musim, tahun lalu.

Barangkali menamatkan rekod tanpa kalah Manchester City bukanlah perkara utama dalam fikiran Jurgen Klopp dan anak-anak buahnya, berbanding menjawab persoalan utama yang dihadapkan kepada mereka pada masa ini: Bolehkah Liverpool meneruskan musim ini tanpa Phillipe Coutinho?

Sejak permulaan musim, dan sekali lagi ketika tingkap perpindahan Januari dibuka, perpindahan perancang Brazil itu ke Barcelona menjadi topik utama.

'Kecederaannya' di awal musim, serta tawaran demi tawaran daripada Barcelona menyebabkan ia terus diperkatakan.

Coutinho secara rasmi menjadi pemain kelab La Liga itu seminggu lalu, dan untuk tempoh sama Liverpool perlu menyiapkan diri untuk perlawanan pertama tanpanya, berdepan pasukan paling kuat liga.

Di padang Anfield semalam, sebelas pemain berjersi merah memberikan jawapan mereka dengan lantang dan jelas.