JDT siap mengaum lebih garang
JDT dijangka bakal muncul dengan wajah baru dan lebih berbisa seawal Jun ini apabila kelab itu membuat rombakan ekoran perkembangan yang berlaku akhir-akhir ini.
Pengarah Teknikal JDT Alistair Edwards berkata kelab itu akan membuat sedikit pertukaran berkaitan pemain sebagai langkah jangka pendek, sebelum diikuti dengan pertukaran lebih besar pada Jun nanti.
Selepas itu katanya JDT membuat pertukaran sekali lagi pada Disember sebagai langkah kelab itu mengharungi saingan liga Malaysia serta kejohanan serantau.
"Kelab menyediakan peruntukan dan buat masa sekarang ini kami akan menggunakan pasukan yang kami ada serta cuba memanfaatkan beberapa pemain luar negara yang sedang bermain untuk JDT II bagi membantu kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
JDT yang kini menjadi pendahulu Liga Super berdepan kejutan apabila ketua jurulatihnya Ulisses Morais mengundurkan diri secara mengejut pada 25 Feb lalu.
Menggunakan faktor kesihatan keluarga sebagai alasan jurulatih dari Portugal itu melepaskan jawatan berkenaan belum pun setahun bersama JDT.

Morais melatih JDT sejak 19 Jun 2017 bagi menggantikan Benjamin Mora (gambar).
TIdak cukup dengan itu pemain tengah JDT Jorge Pereyra Diaz pula 'ghaib' pada tengah malam Ahad lalu di Singapura.
Kelab berkenaan singgah seketika di Singapura dalam perjalanan ke Vietnam untuk melangsungkan perlawanan menentang skuad Song Lam Nghe An bagi saingan Piala AFC.
Pemilik JDT yang juga Presiden FAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjelaskan keributan itu tercetus kesan daripada campur tangan jurulatih kecergasan kelab terbabit, Fernando Gonzalez.
Dalam perlawanan di bandar Vinh itu JDT terpaksa tunduk 0-2 kepada Song Lam Nghe An.
Menurut Edwards JDT tidak akan berhenti daripada terus berusaha memperbaiki keadaan, terutama ketika dia yakin sudah menemui strategi bagi memantapkan pasukan berkenaan.
"Kami tidak akan berputus asa dan kami masih yakin dengan misi-misi kami. Kami akan terus berjuang sepanjang masa," katanya.

