Kejayaan pelumba Rusia, Artem Ovechkin memenangi jersi kuning selaku pelumba terbaik keseluruhan untuk pasukan Malaysia, menutup saingan perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 yang melabuhkan tirainya di Dataran Merdeka, semalam.

Tiada sasaran diletakkan kepada pelumba pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) itu, namun beliau membuktikan kerjasama berpasukan yang erat selain sokongan padu daripada kerajaan negeri Terengganu yang membuat pelaburan besar terhadap TSG, jelas membuahkan hasil positif.

Untuk rekod, Ovechkin merupakan pelumba pertama yang meraih jersi kuning untuk pasukan Malaysia sejak pengenalan LTdL pada 1996.

Dalam pada itu, pelumba Itali kembali menguasai jersi hijau selaku Raja Pecut dengan pelumba pasukan Bardiani-CSF, Andrea Guardini menyambar jersi berkenaan buat kali keempat setelah memenangi jersi berkenaan sebanyak tiga kali sebelum ini – 2011, 2012 dan 2016.

Kejayaan di Dataran Merdeka, semalam menyaksikan Guardini melebarkan rekod kemenangan peringkat sebanyak 24 kali, satu rekod yang sukar digugat oleh mana-mana pelumba.

Sementara itu, penganjuran cemerlang pertandingan berkenaan turut mendapat pujian menggunung daripada wakil Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang membuat tinjauan sejak majlis pengenalan pasukan di Pulau Langkawi pada 16 Mac lepas.

Hal ini diakui sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Ciclista Sports Sdn Bhd, M. Kumaresan yang mendedahkan wakil UCI amat berpuas hati dengan segala aspek teknikal ditetapkan termasuk protokol, keselamatan dan juga peraturan pertandingan.

"Wakil UCI mengakui agak sukar untuk melihat kekurangan pada kali ini dan oleh sebab itu, mereka mahu penganjur luar menjadikan LTdL 2018 sebagai model penganjuran terbaik untuk mana-mana kejohanan berbasikal selepas ini.

"Pengiktirafan berkenaan bukanlah bermaksud kita berpuas hati dengan segala kerja-kerja kita dan kita akan melakukan bedah siasat untuk mengenal pasti sekiranya ada kelemahan yang wujud pada kali ini," tegas Kumaresan yang berjanji untuk menyelesaikan wang kemenangan kepada para pemenang secepat mungkin.

Berdasarkan pemerhatian Bernama sepanjang membuat liputan selama 11 hari pada LTdL 2018, pujian harus diberikan kepada pihak penganjur yang sentiasa peka dengan segala aspek yang perlu diberi perhatian dalam memastikan perlumbaan kali ini berjalan lancar.

Sejumlah 22 pasukan berstatus Jelajah Professional Dunia, professional benua, benua dan pasukan kebangsaan menyertai edisi ke-23 perlumbaan berbasikal terulung Asia itu yang meliputi jarak keseluruhan 1,341km membabitkan lapan negeri di Semenanjung Malaysia.

Saingan kali ini hanya menampilkan dua pasukan Jelajah Professional Dunia (World Tour) iaitu Dimension Data dan Astana, selain beberapa pasukan profesional benua seperti Androni Giocattoli-Sidermec, Bardiani-CSF, Manzana Postobon, Wilier Triestina-Selle Italia dan Bennelong Swisswellness Cycling Team.

- Bernama