Hati S Kumar berkecai gagal tamatkan penantian 60 tahun

       

Penjaga gol hoki lelaki kebangsaan, S.Kumar tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya selepas tewas di tangan Jepun 3-1 menerusi penetuan penalti dalam aksi final pada Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang di Stadium Hoki Gelora Bung Karno, malam tadi.

Penjaga gol berpengalaman negara itu mengakui hatinya berkecai selepas Malaysia yang telah mendahului 5-2 gagal mempertahankan keputusan itu untuk membenarkan Jepun mengikat kedudukan 6-6 untuk mengheret perlawanan ke penentuan pukulan penalti.

“Apa yang saya mampu untuk katakan lagi, hati saya berkecai. Kita bermain dengan baik untuk mendahului sehingga 5-2 dan saat itu saya sudah fikir kita akan memenangi perlawanan meraih emas dan layak ke Olimpik.

“Kita semua (pemain) perlu terima kekalahan ini dan berpuas hati dengan pingat perak. Kita sepatutnya membunuh perlawanan itu tapi mereka (Jepun) berjaya mengejar,” katanya ketika ditemui media Malaysia selepas tamat perlawanan tersebut.

Kekalahan ini menyaksikan Malaysia terus kempunan menamatkan penantian 60 tahun merangkul pingat emas sulung acara hoki lelaki selepas turut kecundang di peringkat sama pada edisi 2010 di Guangzhou, China.

Lebih menyedihkan, kekalahan yang tidak sepatutnya diterima skuad negara ini menyaksikan Malaysia terlepas peluang layak secara automatik ke temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

-Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.