Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Timb presiden FAS serah keputusan pada Pejabat Pesuruhjaya Sukan

Muhammad Nasir Hamzah, yang dilantik sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dalam Kongres Luar Biasa (EGM) penuh kontroversi badan induk itu minggu lepas menyerahkan keputusan pengesahan jawatannya kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan.

Beliau berkata jika keputusan Pesuruhjaya Sukan, Zaiton Othman mengenai isu itu yang akan diumumkan dua minggu lagi tidak memihak kepadanya, beliau dengan rela hati akan melepaskan jawatan berkenaan mengikut undang-undang sedia ada.

“Sekarang ini saya tidak tahu sama ada saya berhak menjadi timbalan presiden (FAS) atau tidak. Tapi bagi saya, apa-apa pun terserah kepada Pesuruhjaya Sukan, selepas itu baru fikir langkah seterusnya.

“Kalau tiada pun orang lain (anggota jawatankuasa baharu FAS) bersetuju dengan saya, saya sendiri akan mengundur diri...kita harus ‘gentleman',” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perlawanan akhir kejohanan bola sepak Piala Raja Muda Selangor, di Shah Alam hari ini.

Jelas Muhammad Nasir, beliau langsung tidak berniat untuk 'menentang’ Presiden FAS, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan kontroversi pelantikan tersebut kerana niatnya hanyalah mahu menjadikan pasukan ‘The Red Giants’ kembali digeruni.

“Kebetulan kumpulan itu (Geng 52) menjemput saya (menerajui FAS) dan saya difahamkan mereka berhak menuntut EGM cuma saya tidak tahu daripada segi teknikalnya sama ada cukup korum atau tidak (untuk membuat EGM). Saya serahkan isu ini kepada Pesuruhjaya Sukan,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau merasakan pelantikan dirinya ke jawatan tersebut kerana diperalatkan pihak tertentu, Muhammad Nasir menegaskan isu sedemikian tidak pernah timbul.

“Susah untuk saya katakan mengenai hal ini. Mereka datang kepada saya dan menjelaskan bahawa ia boleh dilakukan jadi saya tiada masalah kerana saya boleh menyumbang.

“Bagi saya, kita lupakan sahaja hal itu. Kalau boleh saya memang mahu membantu pasukan ini tanpa jawatan pun tidak mengapa,” katanya.

Dalam EGM FAS minggu lepas, Muhammad Nasir dilantik ke jawatan tersebut termasuk pelantikan anggota jawatankuasa baru lain namun ia tidak diiktiraf Tengku Amir Shah kerana tidak mengikut prosedur serta gagal memenuhi Artikel 30 Statut FAS.

- Bernama

Lihat Komen
ADS