Malaysiakini

Pogba 'melompat' dengar khabar Mourinho dipecat

Sukan  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Media di Englad mendakwa, Paul Pogba bersuka ria meraikan khabar bahawa Jose Mourinho dipecat kelab 'Setan Merah' kelmarin.

Malah pemain antarabangsa Perancis itu juga menjerit puas kerana Mourinho akhirnya diketepikan selepas gagal membawa skuad Manchester United (MU) berada dalam kelompok yang diharapkan.

"Silaplah dia sebab cari masalah dengan orang yang salah," kata Pogba.

Kelakuan penyerang yang berbakat itu memaksa jurulatih MU yang juga bekas pemain kelab berkenaan, Michael Carrick, campur tangan.

Kata Carrick, di MU tidak ada sesiapa yang lebih besar atau hebat berbanding kelab berkenaan.

Pogba, 25, dibawa ke Old Trafford dari Juventus pada 2016 dengan harapan yang tinggi dia mampu mengukuhkan skuad yang dibimbing Mourinho.

Bagaimanapun hubungan di antara Pogba dan Mourinho gagal terjalin dengan baik. Persembahan pemain itu dikecam Mourinho secara terbuka dan dipersalahkan apabila MU gagal melakar kejayaan.

Hormat bekas rakan

Kedua-dua mereka kemudian jelas bermasalah dan mendorong Mourinho tidak menurunkan Pogba dalam perlawanan utama.

Malah ketika perlawanan penting menentang Liverpool baru-baru ini Pogba juga tidak diturunkan. Perlawanan itu berakhir dengan MU sekali lagi diaibkan dengan jaringan 1-3.

Mourinho kemudian dipecat pengurusan MU pada Selasa.

Pogba sendiri sempat memuat naik hantaran di Twitter dan Instagram yang ditafsir sebagai menyindir Mourinho, namun ia dipadamkan tidak lama kemudian.

Hantaran ini hanya terpapar seketika di media sosial Pogba

Menurut The Sun, Pogba bergembira apabila mendapat tahu Mourinho bukan lagi pengurus MU.

Dia dilaporkan menjerit: "Dia ingat dia boleh bodohkan aku dan menghasut peminat membenci aku. Silaplah dia sebab cari masalah dengan orang yang salah."

Carrick - yang diberi tanggungjawab mengendalikan kelab itu selama 48 jam - memberitahu pemain, kedudukan mereka dalam skuad tersebut tidak terjamin kecuali mencapai tahap piawaian yang tinggi.

Sementara itu Mourinho berkata dia tidak berminat memberi reaksi mengenai hubungannya dengan individu tertentu dalam MU.

"Saya sangat berbangga kerana memakai lencana MU sejak hari pertama saya datang, dan saya yakin semua peminat tahu tentang itu.

"Setiap kali sesuatu bab dalam perjalanan hidup ditutup, saya menghormatinya dengan tidak memberi sebarang kenyatan mengenai bekas rakan sekerja," katanya dalam satu kenyataan.