Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Akhyar pindah JDT: Kedah bawa kes ke mahkamah - Mukhriz
Diterbitkan:  Jan 2, 2019 8:23 PM
Dikemaskini: 12:23 PM

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) kekal dengan keputusan untuk membawa kes perpindahan kontroversi membabitkan Muhammad Akhyar Abdul Rashid ke Mahkamah Timbang Tara (CAS) dan akan menerima sebarang keputusan yang akan dibuat oleh badan itu.

Presiden KFA, Mukhriz Tun Mahathir berkata tindakan itu bukan kerana pihaknya tidak berpuas hati dengan nilai tebus kontrak dan bayaran yang diterima KFA, namun ia membabitkan soal berpegang kepada peraturan yang telah digariskan.

"Perkara ini berbangkit bukan kerana Akhyar yang membuat keputusan untuk menerima tawaran daripada pasukan lain, tetapi kita mahu perbetulkan apa yang tidak betul kerana peraturan yang ada perlu dipatuhi oleh semua pihak.

"Bila satu pasukan langgar peraturan dengan tawar imbuhan kepada pemain pasukan lain secara pintu belakang itu boleh menyebabkan pihak lain mengalami kerugian. 

"Cara itu tidak betul dan sebab itu kita bantah dan mahu CAS yang teliti dan buat keputusan berhubung isu ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Keputusan FAM tak adil

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada KFA kekal dengan dengan keputusan untuk membawa kes perpindahan Muhammad Akhyar ke CAS atau Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Sabtu lalu, Pengarah Sukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Martin Prest mengesahkan bahawa penyerang muda negara itu menyertai pasukannya dan mengikat kontrak selama empat tahun.

Jawatankuasa Rayuan FAM sebelum ini mengekalkan keputusan bahawa Muhammad Akhyar hanya perlu membayar RM210,000 untuk menebus baki kontraknya bersama KFA untuk berhijrah ke pasukan lain, manakala pasukan barunya harus membayar RM75,000 kepada KFA.

Mukhriz yang juga menteri besar Kedah berkata KFA juga merasakan keputusan yang dibuat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang menetapkan nilai pampasan RM75,000 kepada mana-mana pasukan yang ingin mendapatkan khidmat Muhammad Akhyar sebagai tidak adil.

"Keputusan sebelum ini dibuat hanya di antara FAM dan Akhyar, KFA sendiri tidak dijemput. Apabila kita hendak bawa perkara ini ke CAS, mereka cakap boleh berbincang pula jadi jalan terbaik adalah dengan membiarkan CAS buat keputusan dan apa juga keputusan kita terima kerana itulah tujuan utama libatkan CAS.

"Kita akan bawa kes itu ke CAS secepat mungkin. Kita mahu bertegas kerana kalau perkara ini boleh jadi kepada KFA, mungkin ia boleh jadi juga kepada pasukan lain dan saya juga harap FAM bertegas dengan peraturan yang telah dibuat oleh persatuan itu sendiri dan tidak pilih kasih," katanya.

Sementara itu, Mukhriz menolak dakwaan mengatakan KFA tidak menjaga kebajikan pemainnya susulan isu tersebut.

"Kami pasukan kecil, miskin jadi seolah-olah tak pandai jaga pemain. Di pihak sana pun banyak juga pemainnya yang hilang.

"Dengan Akhyar sendiri, kita pernah bertanya apa yang dia harapkan untuk masa hadapan dan kita turut cadangkan supaya dia mengembangkan bakatnya dengan bermain dengan pasukan luar negara, jadi tidak timbul isu tidak prihatin dengan pemain," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS