Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Langkah panjang pemain tenis wanita di Terbuka Australia
Diterbitkan:  Jan 18, 2019 5:37 PM
Dikemaskini: 9:41 AM

Juara bertahan Caroline Wozniacki kecundang mengejut ditundukkan pemain yang sudah lama tidak menyinar di atas gelanggang, Maria Sharapova, dalam kejohanan Terbuka Australia hari ini.

Bagaimanapun Maria tidak mendapatkan kemenangan itu dengan mudah, sebaliknya terpaksa berhempas pulas sebelum mencatat kemenangan 6-4, 4-6 dan 6-3.

Sejak dibenarkan beraksi semula dalam gelanggang tenis selepas didenda atas kesalahan dadah pada 2017, persembahan hari ini adalah pencapaian terbaik buat Maria.

"Saya tak banyak bermain tahun lepas, terutama menentang pemain atasan.

"Sebab itu saya saya berlatih dengan gigih untuk ini, justeru kemenangan ini sangat menggembirakan," kata Maria yang pernah menjadi pemain tenis wanita nombor satu dunia untuk seketika.

Di sebalik kejelitaannya Maria, 31, sering terpaksa bergelut di gelanggang untuk mencapai kemenangan terutama selepas terpalit dengan kes pengambilan bahan terlarang.

Caroline, 28, pula selalu menyertai kejohanan utama dunia dan selalunya tidak bermasalah mara jauh atau menjulang kejuaraan.

Untuk rekod, Maria ialah atlet kelahiran Rusia manakala Caroline dari Denmark.

Selain Maria ada beberapa lagi pemain tenis wanita yang menarik perhatian dalam kejohanan yang membuka siri Grand Slam setiap tahun itu.

Ashleigh Barty

Bukan mengejutkan jika Ashleigh menjadi pujaan ramai dalam kejohanan Terbuka Australia ini. Hal itu kerana dia ialah pemain yang membawa harapan buat tuan rumah.

Baru berusia 22 tahun untuk seketika dia berehat daripada sukan tenis dan menyertai kriket. Ia bermula selepas Ashleigh bertemu pasukan kriket Australia pada 2015.

Ketika itu dia kelihatan kurang berminat kepada tenis yang dianggapnya "berlebihan" dan mengambil banyak masa mudanya.

Dalam kejohanan kali ini Ashleigh menundukkan pemain Greece, Maria Sakkari dengan mata 7-5 dan 6-1.

Di mata pemerhati bintang Ashleigh diyakini bakal menyinar dari kejohanan ini seperti pernah dialami Samantha Stosur, Lleyton Hewitt dan Pat Rafter.

Amanda Anisimova

Namanya membawa aura Rusia tetapi dia ialah atlet AS yang lahir di New Jersey baru 17 tahun lalu.

Ibu dan bapa Amanda memang berasal dari Rusia dan berhijrah ke negara Pak Cik Sam itu sebelum dia lahir demi mendapatkan peluang dan keselesaan yang lebih banyak.

Khabarnya Amanda mula bermain tenis sejak dia berusia dua tahun.

Di Melbourne hari ini Amanda menundukkan pemain lebih berpengalaman dari Belarus, Aryna Sabalenka, dengan mata 6-3, 6-2.

Untuk pusingan berikutnya Amanda terpaksa berdepan seorang lagi pemain terkenal Petra Kvitova dari Czech yang terkenal dengan kepaduan pukulan kirinya.

Setakat ini Petra sudah merangkul 26 kejuaraan termasuk dua kali kejuaraan Wimbledon iaitu pada 2011 dan 2014.

Anastasia Pavlyuchenkova

Dia melangkah lebih jauh selepas mudah menundukkan pencabar yang lebih muda, Alieksandra Sasnovich, dengan mata 6-0, 6-3.

Anastasia berusia 27 tahun dan kelahiran Samara, manakala Alieksandra lahir di Minsk, Belarus kira-kira 24 tahun lalu.

Pada saingan selanjutnya Anastasia akan melayan pemain tenis AS yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia, Sloane Stelphens.

Untuk rekod Sloane ialah juara Terbuka AS pada 2017.

Lihat Komen
ADS