Tiada logo penaja, tapi mesej yang penuh bermakna.

Itu yang akan terpapar pada jersi pemain skuad The Bos Gaurus pada musim ini, sesuai dengan status mereka sebagai juara Piala Malaysia 2018.

Mengumumkan hal itu di Ipoh hari ini Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) Ahmad Faizal Azumu berkata mesej yang dibawa skuad Perak itu nanti beraura positif, iaitu Save Water (Jimatkan Air) dan Quit Smoking (Berhentik Merokok).

Kata Ahmad Faizal langkah itu juga tidak bermakna Pafa mengetepikan penggunaan bahasa kebangsaan.

Sebaliknya, kata Ahmad Faizal, ia selari dengan status skuad negeri yang akan menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa musim ini.

Menteri Besar Perak itu juag berkata jersi kali ini adalah yang terbaik pernah ditampilkan oleh Pafa dan ia dipilih selepas persatuan terbabit membuat pertimbangan mendalam.

“Alhamdulillah, semua penaja menyumbang dengan penuh ikhlas demi menaik taraf sukan bola sepak Perak.

"Saya telah bercakap dengan mereka mengenai perkara ini dan mereka bersetuju supaya nama-nama syarikat penaja tidak dipaparkan pada jersi," katanya seperti dipetik Utusan Online hari ini.

Tajaan LAP tak sebanyak tahun lalu

Perak mengungguli Piala Malaysia edisi 2018 selepas menundukkan Terengganu dalam perlawanan penuh dramatik dan mendebarkan di Stadium Shah Alam pada 27 Okt tahun lalu.

Kali terakhir Perak menjulang piala berpestij itu ialah pada 2000.

Kejayaan itu melayakkan Perak mewakili negara ini dalam kancah persaingan Liga Juara-juara AFC.

Ahmad Faizal berkata melalui dua mesej berkenaan skuad The Bos Gaurus mahu menunjukkan kepada peminat bola sepak di rantau Asia bahawa mereka hadir dengan membawa pesanan yang baik.

"Orang Perak bersukan sambil berkasih sayang, kita cintakan bangsa kita,” katanya.

Sementara itu beliau mengumumkan Lembaga Air Perak (LAP) tidak lagi perlu menyumbang sehingga RM8 juta kepada Pafa untuk tajaan, sebaliknya dikurangkan menjadi RM2 juta saja pada musim ini.

“Kita hendak menjaga duit rakyat kerana duit LAP itu ialah duit rakyat. Selain itu, ia disumbangkan oleh pihak swasta,” katanya.

Ahmad Faizal juga menyatakan majlis memperkenalkan pemain Perak akan diadakan Sabtu ini dalam suasan meriah dan dihiasi dengan persembahan artis seperti Awie, Ella, Baby Shima dan Zizi Kirana.

Katanya majlis itu akan diadakan di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh dengan karnival mini berlangsung seawal jam 8 pagi.