Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Jurulatih Poland enggan latih perenang Malaysia kerana isu atlet Israel
Diterbitkan:  Jan 29, 2019 3:42 PM
Dikemaskini: 7:42 AM

Bekas perenang kebangsaan Poland Bartlomiej Kizierowski menolak untuk menjadi jurulatih pasukan renang Malaysia susulan pendirian tegas kerajaan tidak membenarkan atlet para renang Israel datang ke negara ini.

Dalam satu hantaran di Facebook, mengakui tawaran itu lumayan baginya, Kizierowski bagaimanapun menyuarakan rasa tidak setujunya dengan pendirian Malaysia dan berkata, "Dalam sukan, tiada ruang untuk perkara seperti itu.”

Persatuan Renang Amatur Malaysia (Asum) minggu lalu mengumumkan Kizierowski yang merupakan pemenang pingat emas kejuaraan Eropah pada 2006, akan menggantikan jurulatih berasal dari Australia, Paul Birmingham Thomas yang bersara tahun lalu.

Susulan pendirian Malaysia berhubung atlet Israel, Ahad lalu Jawatankuasa Para Antarabangsa pada Ahad lalu mengumumkan Malaysia hilang kelayakan untuk menganjurkan Kejohanan Renang Para Dunia 2019 yang sepatutnya dilangsungkan di Kuching pada Julai.

Keputusan itu dibuat selepas Israel membuat rayuan bagi memohon pertukaran tempat kejohanan.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempertahankan larangan terhadap atlet Israel tersebut yang turut disokong pemimpin kerajaan.

Semalam, ketika ditanya tentang keputusannya membenarkan pasukan kriket Israel menyertai kejohanan di Kuala Lumpur pada 1997, Mahathir berkata keputusan itu diambil bagi menunjukkan kepada mereka yang orang Islam bukan pengganas.

“Kami (orang Islam) orang biasa, kami bercakap dengan orang. Kami berperangai baik,” tambahnya lagi.

Lihat Komen
ADS