Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Pahang kekal rekod tanpa kalah, JDT tertekan
Diterbitkan:  Apr 15, 2019 12:05 AM
Dikemaskini: Apr 23, 2019 11:59 AM

Saingan merebut kejuaraan Liga Super 2019 semakin menarik apabila Pahang tidak menunjukkan tanda untuk mengalah dengan kejayaan menewaskan PKNS FC 2-1 di Stadium Shah Alam, malam ini.

Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Dollah Salleh mengekalkan rekod tanpa kalah dalam sembilan perlawanan dan mengumpul 21 mata untuk terus memberi tekanan kepada pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan 23 mata.

Kemenangan keenam skuad yang menjuarai Piala FA 2018 itu juga mengubat kekecewaan ribuan penyokong ‘Tok Gajah’ minggu lepas setelah Pahang diikat PJ City FC 1-1 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Pada aksi malam ini, Pahang bangkit meledak dua gol selepas ketinggalan seawal minit ke-13 hasil gerakan balas yang disempurnakan bekas pemain mereka, Chan Vathanaka yang bijak menolak masuk hantaran Kpah Sherman.

Kedudukan 1-0 berpihak pasukan tuan rumah tidak kekal lama apabila penyerang berbisa Pahang, Dickson Nwakaeme menggegar gawang dikawal penjaga gol, Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin untuk menyamakan jaringan pada minit ke-24.

Pahang hampir mendahului 2-1 seawal babak kedua permainan bermula, namun percubaan cantik pemain kebangsaan Singapura, Muhammad Safuwan Baharudin sekadar menggegar tiang pada minit ke-46.

Gol kemenangan Pahang hadir pada minit ke-76 selepas Ze Love mengambil kesempatan menampan bola masuk ke gawang lawan sekali gus menghadiahkan tiga mata berharga buat pasukan.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan, Dollah menyifatkan kesungguhan barisan pemainnya menguasai permainan untuk mematahkan serangan balas PKNS FC sebagai kunci kejayaan.

“Kami perlu berjaga-jaga dengan serangan balas berbahaya PKNS FC jadi saya bagi tahu pemain supaya menumpukan ruang di kawasan tengah untuk menampakkan ia padat. Dari situ lah kita dapat seterusnya menguasai permainan sepenuhnya,” katanya.

Pahang seterusnya akan berdepan UKM FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, Rabu ini, dalam pusingan ketiga Piala FA 2019 sementara PKNS FC akan bertandang ke Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin bertemu JDT.

- Bernama

Lihat Komen
ADS