Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
FAM: 24 pasukan perlu beri sokongan penuh pada MFL
Diterbitkan:  Apr 26, 2019 5:03 PM
Dikemaskini: 9:03 AM

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menegaskan liga domestik bertaraf profesional dan berkualiti mampu menjamin kecemerlangan arena bola sepak negara di pentas antarabangsa.

Presiden FAM Hamidin Mohd Amin berkata FAM sentiasa meletakkan pembangunan liga domestik sebagai agenda utama yang perlu diberi tumpuan khusus bagi memastikan industri bola sepak di negara ini terus berkembang maju.

Beliau berkata usaha tersebut bermula sejak era awal 90-an sebelum ia melalui fasa penswastaan dengan penubuhan FMLLP pada 2015 yang kemudiannya dijenamakan semula sebagai Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bagi menguruskan kelangsungan Liga Malaysia (Liga-M).

“Selepas empat tahun penubuhan MFL, saya secara peribadi melihat banyak perkara positif yang berjaya dilakukan bagi meningkatkan tahap dan mutu liga domestik di negara ini.

“Antara perubahan dapat dilihat, setiap pasukan yang bertanding kini memiliki kepentingan dalam industri bola sepak Malaysia sebagai pemegang saham dalam Liga-M dan mereka bukan lagi hanya sebagai ahli gabungan FAM semata-mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Hamidin menggariskan beberapa pencapaian MFL antaranya penglibatan wakil dari Malaysia bersaing dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) melalui pelesenan kelab, kerjasama dengan La Liga (Sepanyol) dan Liga-J (Jepun) bagi mengukuhkan sistem pentadbiran liga.

Selain itu, beliau berkata usaha MFL turut dapat dilihat dengan penubuhan badan bebas pengadil, Pegawai Perlawanan Profesional Malaysia (PMOM) demi meningkatkan mutu pengadilan Liga-M selain peraturan kawalan ekonomi bertujuan memantapkan sistem pengurusan kewangan pasukan bertanding.

“Semua ini saya lihat bakal memberi banyak manfaat bukan sahaja kepada pasukan dalam Liga-M, malah skuad kebangsaan khususnya Harimau Malaya kerana apabila liga kita mempunyai pelbagai nilai tambah yang mampu meningkatkan kualiti saingannya, sudah tentu ia akan membantu melahirkan barisan pemain berkualiti,” katanya.

Justeru, Hamidin berharap semua pihak terutama 24 pasukan yang menjadi rakan kongsi MFL supaya terus memberi sokongan dan kerjasama dalam merealisasikan kejayaan melihat arena bola sepak negara dimartabatkan.

“Saya mengakui perjalanan masih jauh dan banyak lagi perlu dilakukan MFL, namun langkah sudah dimulakan dan sudah tentu kita tidak boleh lagi menoleh ke belakang. Sebaliknya terus menggorak langkah dan sama-sama membantu MFL memajukan liga domestik di Malaysia.

“Semua pasukan bertanding dalam Liga Super dan Premier diharap agar terus tenang kerana saya yakin MFL akan menyerahkan geran tahunan kepada semua pasukan sebaik memuktamadkan beberapa perkara berkaitan penajaan baharu,” jelas Hamidin.

- Bernama

Lihat Komen
ADS