Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Dua beregu campuran negara mara ke pusingan kedua Terbuka New Zealand

Dua beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai beraksi cemerlang untuk mara ke pusingan kedua kejohanan badminton Terbuka New Zealand 2019 di Eventfinda Stadium, Auckland.

Kian Meng-Pei Jing menewaskan pemain pilihan keenam kejohanan dari Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dengan keputusan 21-18, 21-14 pada aksi pembukaan hari ini.

Pasangan yang tewas awal pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Wuhan, China, minggu lepas itu dijadualkan bertemu satu lagi gandingan Indonesia, Akbar Bintang Cahyono-Annisa Saufika, pada Khamis.

"Kami persiapkan diri dengan sebaiknya sebelum berjumpa pasangan Indonesia itu kerana kami pernah kalah dengan mereka di Terbuka Jerman tahun ini. Ia tidak pernah mudah tapi kami pamerkan aksi yang lebih baik," kata Pei Jing.

Sementara itu, satu lagi pasangan negara, Soon Huat-Shevon yang menarik diri pada pusingan kedua BAC ekoran masalah kesihatan yang dialami Soon Huat, bangkit dengan kemenangan selesa ke atas pasangan Singapura, Danny Bawa Chrisnanta-Tan Wei Han.

Pilihan ketiga kejohanan itu akan bertemu beregu Taiwan, Lee Jhe Huei-Hsu Ya Ching selepas menidakkan kemaraan Danny-Tan 21-11,21-17.

Satu lagi beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang juga beregu pilihan kedua kejohanan akan memulakan aksi pertamanya menentang Henriko Kho Wibowo-Yulia Yosephin Susanto dari Indonesia, pada esok.

Turut beraksi di pusingan pertama hari ini ialah perseorangan lelaki, Chong Wei Feng bertemu Ihsan Mualana Mustofa dari Indonesia, Soong Joo Ven beraksi menentang Lee Hyun Il dari Korea Selatan manakala Lee Zii Jia pula berdepan pemain pilihan keempat kejohanan, Kenta Nishhimoto dari Jepun manakala perseorangan wanita pula akan diwakili oleh Soniia Cheah yang akan berlawan dengan Zhang Beiwen dari Amerika Syarikat.

Bagi acara beregu wanita pula akan menyaksikan pertarungan antara Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean bertemu pemain Jepun, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara serta Vivian Hoo-Yap Cheng Wen bertemu beregu Indonesia, Yulfira Barkah-Jauza Fadhila Sugiarto.

Beregu lelaki pula yang akan diwakili oleh pasangan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani akan beraksi menentang Akira Koga-Taichi Saito (Jepun), Aaron Chia-Soh Wooi Yik berdepan Simon Leung Wing Hang-Mitchell Wheller (Australia), Ong Yew Sin-Teo Ee Yi bertemu Liao Min Chun-Su Ching Heng (Taiwan) dan Goh V Shem-Tan Wee Kiong bertarung Mark Lamsfuss-Marvin Seidel (Jerman).

-- Bernama

Lihat Komen
ADS