Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
KBS: Lantikan 3 pegawai ke dalam Majlis Paralimpik tidak sah
Diterbitkan:  Jun 27, 2019 10:00 AM
Dikemaskini: 2:00 AM

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan bahawa pelantikan tiga pegawai daripada agensi di bawah kementerian tersebut ke dalam Jawatankuasa Perundangan, Disiplin dan Etika (LDEC) Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) tidak mendapat kelulusan dari kementerian itu.

Merujuk kepada pelantikan Mohd Safrushahar Yusuff dari Majlis Sukan Negara (MSN), Mohd Izwandy Ismail dari KBS dan Asmadi Mohamad dari Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS), KBS berkata bahawa pihaknya tidak dimaklumkan tentang pelantikan mereka.

“Tiga pegawai yang dilantik ini juga tidak dimaklumkan tentang pelantikan, seperti yang dinyatakan dalam emel tersebut. KBS bertegas menyatakan bahawa mana-mana organisasi yang berhasrat untuk melantik pegawai KBS mewakili KBS, perlulah mendapat persetujuan Pengurusan Tertinggi KBS.

“KBS tidak akan campur tangan dalam urusan urus tadbir mana-mana organisasi seperti MPM,” menurut kenyataan yang dihantar lewat malam tadi, merujuk kepada emel Presiden MPM, SM Nasarudin SM Nasimuddin yang dihantar kepada exco majlis itu pada 21 Jun.

Dalam emel berkenaan, Nasarudin berkata beliau melantik Mohd Safrushahar (pengerusi), Asmadi dan Mohd Izwandy ke dalam LDEC untuk memantau pemilihan MPM pada Sabtu ini, sebagai ahli berkecuali bagi memastikan pemilihan diadakan dengan tanpa bias dan adil.

- Bernama

Lihat Komen
ADS