Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan

Teka-teki tokoh mana yang akan memimpin Persatuan Bola Sepak (Kafa) bagi menggantikan Bibi Ramjani Ilias Khan bakal terjawab Sabtu ini apabila Kongres Luar Biasa Agung (EGM) persatuan terbabit berlangsung.

Berdasarkan senarai terakhir calon yang diterima Kafa, ahli perniagaan Amril Aiman Ab Aziz bakal mendapat tentangan daripada dua tokoh politik Kelantan, iaitu Naib Presiden Bersatu Abdul Rashid Abdul Rahman dan Pengerusi Amanah Kelantan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Dengan pencalonan dua tokoh politik terbabit, beberapa persatuan bola sepak jajahan (PBJ) nampaknya berhasrat mahu Kafa kembali dipimpin ahli politik setelah mereka dilihat lebih berjaya seperti yang ditunjukkan Anggota Parlimen Ketereh Annuar Musa yang berjaya membawa pasukan Kelantan memperoleh gelaran juara berganda pada 2012.

Namun, bagi beberapa PBJ atau sesetengah individu mereka masih menaruh kepercayaan kepada ahli perniagaan dengan mencalonkan Amril Aiman untuk meneruskan legasi Bibi Ramjani.

Bagaimanapun berdasarkan pandangan daripada individu yang terlibat secara langsung dalam sukan bola sepak, baik ahli politik mahupun tokoh perniagaan, masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.

Bekas pemain kebangsaan dan Kelantan era 70-an, Afandi Yusof, berkata PBJ atau mana-mana pihak yang terlibat pada pemilihan perlu membuatkan keputusan tepat kerana pemilihan pucuk kepimpinan Kafa amat bergantung kepada undian mereka.

"Pilihlah individu yang mampu memberikan sumbangan sama ada dari segi dana, buah fikiran dan sebagainya untuk mengubah kembali imej bola sepak Kelantan pada saingan Liga Malaysia.

"Elakkan memilih individu yang hanya mahukan jawatan untuk kepentingan peribadi sehingga memberikan kesan kepada pengurusan dan pasukan Kelantan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Masing-masing ada kelebihan

Afandi berkata sebagai bekas pemain, mana-mana individu layak untuk menerajui persatuan asalkan dapat menguruskan persatuan dan pasukan dengan baik.

Katanya mungkin ahli politik dan ahli perniagaan masing-masing mempunyai perancangan tersendiri bagi mengatasi isu-isu sebelum ini seperti tunggakan gaji pemain serta pegawai, kebajikan, hutang dan mencari dana.

"Ahli perniagaan yang sanggup menerima pencalonan mungkin dia sudah mempunyai dana sendiri untuk menguruskan pasukan, begitu juga ahli politik mungkin mereka berkemampuan menggunakan sedikit pengaruh politik mereka untuk membawa masuk dana kepada persatuan," katanya.

Abdul Rashid

Sementara itu, bekas Setiausaha Agung Kafa Ismail Md Noor berkata beliau turut berpandangan ahli politik dan perniagaan mempunyai kekuatan masing-masing.

"Ahli politik akan menggunakan pengaruh, kedudukan politik untuk mendapatkan dana, namun perlu diingat pengaruh dan kedudukan mereka tidak lama selain penajaan juga hanya dalam tempoh yang singkat semusim atau dua musim.

"Begitu juga dengan ahli perniagaan, mereka mempunyai kenalan dalam rangkaian perniagaan yang boleh membantu bagi menguguhkan dana persatuan walaupun tidak mempunyai pengaruh dan kedudukan. ​​​​​​​

Wan Abdul Rahim

Presiden dan barisan exco baru nanti perlu bekerja keras untuk mendapatkan dana secukupnya bagi menguruskan persatuan dan pasukan kerana pengurusan bola sepak ketika ini perlu dana yang tinggi untuk membentuk pasukan yang baik bagi mendapatkan khidmat pemain berkualiti.

"Tentang pengalaman pengurusan ia akan datang secara perlahan-lahan kerana kita perlu percaya individu yang dicalon mempunyai pengalaman pengurusan dalam bidang masin-masing yang sedikit sebanyak boleh digunakan untuk pengurusan persatuan kelak," katanya.

Kesimpulannya, semua calon mempunyai peluang sama rata bagi menduduki kerusi nombor satu Kafa dan keputusan sama ada ahli politik atau ahli perniagaan yang memenangi pertandingan itu bergantung kepada undian Sabtu ini.

Pemilihan itu perlu dilakukan dengan bijak supaya 'desakan' melepaskan jawatan tidak terus berulang dek kerana tindakan atau keputusan yang dilakukan sendiri.

EGM kali ini turut menyaksikan pertandingan tiga penjuru bagi jawatan timbalan presiden iaitu melibatkan Pemangku Presiden Kafa Afandi Hamzah, Mohamad Yusri Ismail dan Mohd Zumridi Tambi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS