Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
MFL cadang mansuhkan jawatan pengerusi yang kini disandang TMJ
Diterbitkan:  Jul 24, 2019 5:40 PM
Dikemaskini: 9:40 AM

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam mengesahkan pentadbir Liga Malaysia itu tidak menolak kemungkinan untuk memansuhkan jawatan Pengerusi MFL sebagai satu daripada penstrukturan semula dalam badan induk itu.

Beliau berkata, cadangan pemansuhan jawatan Pengerusi MFL itu adalah sebahagian daripada penstrukturan semula pentadbiran yang terkandung dalam MFL Next50 Strategic Blueprint 2021-2070 yang dilancarkan di Johor Bahru pada 15 Julai lepas.

Kevin berkata, Pengerusi MFL Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersetuju dengan penstrukturan semula itu kerana baginda tidak mahu MFL menerima tempias dan kritikan kononnya baginda memiliki sentimen berat sebelah selaku pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT).

Beliau memaklumkan Tunku Ismail melihat penstrukturan semula itu bakal memantapkan lagi pentadbiran MFL yang tidak lagi diterajui oleh seorang pengerusi sebaliknya dikawal sepenuhnya oleh Ahli Lembaga Pengarah, jelas Kevin dalam satu kenyataan dikeluarkan MFL, hari ini.

Mengulas lanjut, Kevin menegaskan keputusan untuk meminda perlembagaan itu bergantung kepada persetujuan 24 rakan kongsi MFL iaitu pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia pada kongres yang dijangka diadakan pada September nanti.

“Agak mustahil untuk MFL beroperasi sekiranya terdapat persepsi negatif yang berterusan terhadap MFL jika mana-mana satu wakil dilihat mempunyai kuasa yang lebih tinggi berbanding orang lain. Namun, ini cuma persepsi kerana Pengerusi MFL (Tunku Ismail) tidak pernah menggunakan mana-mana kuasanya sebagai pengerusi untuk mempengaruhi sesuatu keputusan.

“Untuk makluman, ada beberapa kali Pengerusi MFL enggan mengundi dalam sesuatu mesyuarat dalam membuat keputusan. Ini untuk memastikan ahli lembaga pengarah dapat membuat keputusan dengan lebih bebas," jelas Kevin.

Dalam perkembangan sama, Kevin memaklumkan sebarang penstrukturan semula yang dicadangkan perlu diluluskan pada mesyuarat rakan kongsi liga MFL yang dijangka diadakan selepas berakhirnya aksi final Piala FA pada 27 Julai ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Apabila rakan kongsi mengadakan mesyuarat, mereka akan mengundi untuk meluluskan sebarang perubahan dalam struktur MFL tetapi niat TMJ (Tunku Mahkota Johor-Tunku Ismail) sangat jelas dan baginda telah konsisten dalam membuat keputusannya untuk kepentingan MFL.

“Saya dapat melihat maksudnya dan tujuannya dan hanya seorang pemimpin berkaliber yang dapat merancang dan melaksanakan semua yang telah dilakukannya, termasuk keinginan untuk memastikan bahawa MFL memenuhi standard tadbir urus tertinggi dan jangkaan rakan kongsi," jelas Kevin.

Kevin turut menolak dakwaan segelintir pihak yang mendakwa kejayaan JDT meraih pelbagai trofi sejak beberapa musim lepas berpunca daripada pengaruh Tunku Ismail selaku Pengerusi MFL.

“Ini adalah kenyataan yang tidak masuk akal kerana JDT memenangi banyak trofi sebelum TMJ dilantik Pengerusi MFL dan dengan perancangan yang ada mereka akan tetap memenangi trofi selepas TMJ bukan lagi menjadi Pengerusi MFL," kata Kevin.

- Bernama

Lihat Komen
ADS