Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
FAM: 3 pasukan berdepan penyingkiran dari Liga-M 2020

Tiga pasukan Liga Malaysia (Liga-M) yang masih mempunyai tunggakan gaji dengan pemain masing-masing diminta supaya menyelesaikan isu berkenaan selewat-lewatnya pada Mac ini atau berdepan tindakan penyingkiran oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam berkata tindakan tegas berkenaan merupakan langkah terakhir yang akan diambil dalam membendung masalah tunggakan gaji yang bukan sahaja melibatkan tiga pasukan berkenaan, malahan beberapa pasukan lain dalam saingan Liga-M sejak beberapa musim lepas.

Beliau yang tidak menamakan pasukan berkenaan berkata ketiga-tiga pasukan itu telah diberi amaran terakhir oleh First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain masing-masing.

“Jika tunggakan gaji tidak dijelaskan sebelum 31 Jan ini, atau persetujuan untuk membayar gaji di antara pasukan berkenaan dengan pemain tersebut tidak dipatuhi, pasukan berkenaan akan ditolak tiga mata daripada saingan Liga (Super atau Premier).

“Jika sebelum 28 Feb ini masih belum dibayar, pasukan berkenaan akan ditolak tiga lagi mata, dan sekiranya pada 30 Mac, perkara berkenaan masih belum diselesaikan, pasukan tersebut akan dikeluarkan daripada Liga-M," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Liga-M 2020 yang disempurnakan Presiden FAM, Hamidin Mohd Amin, di Shah Alam, hari ini.

Mengulas lanjut, Stuart berkata sekiranya mana-mana tiga pasukan berkenaan disingkirkan daripada Liga-M, mereka diwajibkan untuk menyelesaikan tunggakan gaji sepenuhnya kepada pemain terlibat, dan membuat permohonan baharu kepada FAM untuk menyertai Liga-M, bermula dengan liga bawahan.

“Kalau hutang berkenaan tidak dijelaskan (sepenuhnya), pasukan berkenaan tidak akan dibenarkan untuk kembali bertanding. Sebagai contoh, sekiranya pasukan berkenaan dari Liga Super, mereka akan bertanding bermula dengan Liga Premier terlebih dahulu," tegas Stuart.

Ahli Lembaga Pengarah MFL pada Februari tahun lepas memutuskan untuk menyingkirkan pasukan Perlis daripada saingan Liga-M 2019 setelah gagal memberi jaminan kewangan yang kukuh untuk meneruskan baki saingan liga.

- Bernama

Lihat Komen
ADS