Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
MHC lantik Wallace Tan pengendali sementara skuad hoki remaja lelaki

Jurulatih berpengalaman, Wallace Tan dilantik secara sementara untuk mengendalikan skuad hoki remaja lelaki negara sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Piala Remaja Asia Lelaki 2020 di Dhaka, Bangladesh dari 4-12 Jun ini.

Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang mengadakan mensyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan yang dipengerusikan sendiri Presiden MHC, Subahan Kamal, semalam, turut bersetuju melantik dua bekas pemain kebangsaan iaitu Nor Saiful Zaini Nasiruddin yang akan bertindak selaku pengurus pasukan serta penolong jurulatih, bersama Megat Azrafiq Termizi yang akan memainkan peranan selaku penolong jurulatih.

Bekas penjaga gol kebangsaan, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim pula diberi tugas selaku penolong jurulatih penjaga gol bagi skuad berkenaan.

Seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Lailin Abu Hassan pula dilantik sebagai pengendali sementara untuk melatih skuad remaja wanita negara sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Piala Remaja Asia Wanita 2020 di Kakamigahara, Jepun dari 6-12 April ini.

Lailin akan dibantu oleh bekas pertahanan kebangsaan, Siti Rahmah Othman selaku penolong jurulatih, dan bekas penjaga gol kebangsaan, Roslan Jamaluddin akan bertindak sebagai penolong jurulatih penjaga gol.

Dua kejohanan berkenaan menawarkan tiket automatik ke Kejohanan Piala Dunia Remaja Lelaki dan Wanita pada 2021.

Subahan menegaskan pemilihan Wallace dan Lailin adalah berdasarkan pengalaman luas yang dimiliki kedua-dua jurulatih berkenaan, dengan Wallace sebelum ini berjaya muncul juara pada Sukan Olimpik Remaja 2018 di Argentina, manakala Lailin pernah bersama skuad senior wanita, selain pernah dilantik sebagai ketua jurulatih skuad remaja wanita negara.

“Dalam mesyuarat ini juga, kami telah menetapkan bahawa jawatan ini akan turut dibuka untuk dipohon, tetapi oleh kerana kesuntukan masa untuk mempersiapkan pasukan remaja lelaki dan wanita, seperti pasukan remaja wanita mempunyai dua bulan untuk bersedia membuat keputusan untuk memilih seseorang yang pernah bersama pasukan dan mengenali para pemain untuk menyelesaikan tugas ini.

“Situasi yang sama juga untuk skuad remaja lelaki di mana kini TNB Liga Hoki Malaysia sedang berlangsung, dan pemain hanya dapat dikumpulkan sepenuhnya pada bulan tiga nanti jadi tempoh persiapan tiga bulan adalah satu tempoh yang singkat,” jelas Subahan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan MHC akan membuka permohonan untuk mengisi jawatan ketua jurulatih skuad senior wanita negara pada Jumaat ini, sambil menambah tindakan berkenaan adalah bagi memberi peluang kepada sesiapa yang layak.

Jurulatih berpengalaman, Roelant Oltmans dari Belanda yang masih mempunyai baki kontrak dengan MHC sehingga Oktober ini, akan terus membimbing skuad senior lelaki negara, dengan tugasan pertama adalah Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2020 di Ipoh Perak yang akan berlangsung antara 11April hingga 18 April 2020, dan MHC menetapkan sasaran kepada Oltmans untuk skuad negara layak ke final.

-- Bernama

Lihat Komen
ADS