Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Faris Ramli sasar satu trofi dengan Terengganu FC

Pemain sayap sensasi Terengganu FC (TFC), Muhamad Faris Ramli menyasarkan sekurang-kurangnya satu trofi bersama skuad barunya musim ini.

Baginya skuad kendalian ketua jurulatih muda Nafuzi Zain itu memiliki potensi juara, namun sering kali nasib tidak menyebelahi mereka sekali gus meranapkan impian untuk menjulang sebarang kejuaraan di Liga Malaysia (Liga M).

"Saya sudah bermain selama lima musim di Liga M dan akui TFC memang satu pasukan yang bagus serta memiliki reputasinya yang tersendiri.

"Cuma mungkin mereka belum bertuah untuk memenangi sebarang juara seperti pada 2018 di mana mereka sudah mara ke peringkat akhir Piala Malaysia dan hampir memenangi piala berkenaan daripada Perak," katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhamad Faris yang berasal dari Singapura adalah pemain pertama yang diikat TFC untuk musim ini bagi mengisi kuota import Asean.

Sebelum menyertai skuad Penyu, pemain kebangsaan Singapura itu pernah mewakili pasukan seperti LionsXlll, Young Lions, PKNS FC dan terakhir, Hougang United FC.

Ketika ditanya mengenai keputusannya berhijrah ke Terengganu, Muhamad Faris berkata beliau menerima tawaran tersebut kerana terkesan dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh Nafuzi.

Walaupun ada beberapa pasukan lain di Liga M yang berminat mendapatkan khidmat beliau, TFC adalah pasukan pertama yang menghubunginya dan minat yang ditunjukkan menyebabkan tawaran itu sukar ditolak.

"Ketua jurulatih, Nafuzi memang nak sangat saya datang dan beliau secara peribadi telah berhubung dengan saya untuk bincang.

"Sebelum datang ke sini (Terengganu) saya telah menyaksikan banyak perlawanan TFC untuk melihat corak permainan yang diterapkan dan ia menepati citarasa saya," kata pemain yang berusia 28 tahun itu.

-Bernama

Lihat Komen
ADS