Tokoh perniagaan negara Vincent Tan, tidak bercadang untuk membeli mana-mana pasukan Liga Malaysia (Liga-M) dalam masa terdekat, menjelang tarikh akhir penswastaan kelab tempatan, September ini.

Vincent yang merupakan pemilik kelab profesional Belgium, KV Kortrijk dan kelab Liga Kejuaraan Inggeris, Cardiff City, berkata, sektor bola sepak kini sukar mendatangkan keuntungan, terutama dalam situasi dunia masih berperang dengan pandemik Covid-19.

Beliau berkata hubungan baik dengan pemegang taruh bola sepak tempatan juga, membataskan hasrat memiliki sebuah pasukan tempatan kerana enggan bersaing bersama ‘rakan-rakan’.

“Bola sepak (kini) susah untuk perniagaan, bukannya senang...semua rugi saja dan saya fikir susah nak beli pasukan di sini, semua kawan, macam mana nak ‘lawan’ dengan kawan?.

“Perkara ini kena fikir baik-baik, kemungkinan itu sentiasa ada, tetapi untuk masa sekarang saya rasa tidak,” katanya pada sidang media majlis menandatangani kontrak antara pemain muda negara Luqman Hakim Shamsudin dan KV Kortrijk di Kuala Lumpur, semalam.

Penswastaan kelab merupakan proses pemisahan status persatuan bola sepak (FA), kepada kelab bola sepak (FC).

Ia dilihat mampu memperbaiki aspek pengurusan pasukan, selain antara alternatif terbaik kepada kemelut kewangan dihadapi pasukan, sehingga menjejaskan proses pembayaran gaji pemain akibat kebergantungan kepada dana kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Vincent Tan turut memberi kata-kata semangat kepada pemain muda sensasi negara Luqman Hakim Shamsudin supaya sentiasa memikul tanggungjawab sebagai seorang penyerang yang baik.

Taikun perniagaan berusia 68 tahun itu berkata tugas seorang penyerang adalah menjaringkan seberapa banyak gol untuk pasukan.

“Jika beliau dapat peluang beraksi di sana, saya harap beliau jaringkan gol. Sebagai penyerang kalau tidak masuk (jaringkan gol) orang tak kenal siapa kita. Menjaringkan gol tugas utama penyerang,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani kontrak antara Luqman Hakim dan KV Kortrijk, di sini, hari ini.

Luqman Hakim, 18, akhirnya sah menjadi pemain KV Kortrijk dari Belgium selepas menandatangani kontrak profesional selama lima tahun.

Vincent menyifatkan langkah membawa masuk tonggak utama skuad Bawah 19 Tahun (B-19) itu menyertai KV Kortrijk sebagai satu pertaruhan.

Menurut Vincent, beliau terpaksa meyakinkan pihak pengurusan yang berpendapat pemain kelahiran Kota Bharu itu terlalu muda untuk diberikan kontrak profesional.

“Ramai kata beliau masih muda dan kekangan bahasa akan jadi masalah komunikasi di sana, pihak pengurusan juga pada asalnya tidak sokong.

“Tetapi sebagai pemilik kelab, saya mahukan seorang warga Malaysia diberi peluang main di sana. Impian saya sama dengan impian Luqman, kita mahu Luqman berjaya,” tambah Vincent.

Dalam pada itu, Vincent menasihatkan Luqman Hakim supaya sentiasa bekerja keras dan fokus kepada usaha menjayakan impian menjadi seorang pemain bola sepak disegani.

“Di sana selepas sesi latihan, balik ke rumah dan belajar, jangan bazirkan masa. Mesti rajin berusaha kerana yang mustahak sekarang beliau membawa nama Malaysia,” jelasnya.

- Bernama