Pihak berkuasa Argentina merampas fail perubatan Diego Maradona dari doktornya semalam, bagi membantu siasatan susulan kematian pemain bola sepak lagenda itu.

Maradona, 60, meninggal dunia pada 26 Nov lalu akibat serangan jantung.

Siasatan tersebut dibuat ekoran permintaan pihak pendakwa di San Isidro dekat Buenos Aires, lapor Reuters.

Bagaimanapun, pihak tersebut dalam satu kenyataan menyatakan, tiada dakwaan dilakukan ke atas doktor tersebut, Leopoldo Luque tetapi siasatan masih diteruskan.

“Kita dah mulakan analisis barang yang dirampas dari rumah dan pejabat Luque,” kata kenyataan dari pihak pendakwa itu.

Sementara itu, Luque memberitahu antara barang yang dirampas pihak berkuasa adalah laporan perubatan.

“Namun tiada kesilapan perubatan,” kata Luque sambil menegaskan dia tidak bertanggungjawab atas kematian pemain lagenda Argentina itu.

Jelasnya, beberapa tahun kebelakangan ini, Maradona bergelut dengan masalah penyalahgunaan bahan terlarang.

“Diego letih, penat menjadi Maradona,” tambah Luque.

Pada Khamis lalu, peguam pemain bola itu, Matias Moria, menggesa siasatan penuh berhubung kematian Maradona, dengan mengkritik kelewatan pihak hospital.

“Ambulan ambil masa setengah jam untuk sampai (ke rumahnya),” katanya.

Namun Luque berkata, meskipun ambulan tiba cepat, ia tidak mungkin dapat selamatkan nyawa Maradona.

“Kamu perlukan peralatan perubatan di rumah, termasuk alat pernafasan,” jelasnya.