Kegagalan menangani dengan baik isu penangguhan Sukan Para ASEAN (APG) 2021 pada Disember ini boleh menyebabkan perkembangan pembangunan sukan para di rantau ini terbantut.
Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Megat D Shariman Zaharudin berkata pihaknya menyedari kebimbangan terhadap penularan pandemik Covid-19 menjadi satu-satunya halangan untuk temasya dwi tahunan itu diteruskan.
“Ini satu lagi berita yang tentunya akan memberi kesan terhadap moral para atlet khususnya atlet para kerana berdepan satu lagi kemungkinan pembatalan temasya ini selepas Sukan Para ASEAN 2019 Filipina turut dibatalkan.
“Isu penangguhan ini harus ditangani dengan baik walaupun semua pemegang taruh sedia maklum mengenai masalah Covid-19,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau menegaskan bahawa adalah tidak tepat jika menangguhkan temasya berkenaan kerana kelewatan persiapan oleh negara tuan rumah, Vietnam memandangkan aspek kewangan bukan isu utama kerana komitmen diberikan sejak awal oleh tuan rumah apatah lagi pemilihan selaku hos dibuat mengikut sistem giliran yang dipersetujui negara rantau Asia Tenggara.
"Setiap negara telah mengetahui sejak awal giliran mereka untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA serta Sukan Para ASEAN sekali gus menyebabkan tuan rumah mempunyai masa yang cukup untuk membuat persiapan ataupun menarik diri," katanya.
Megat D Shariman berkata demi kemajuan pembangunan sukan para, MPM meminta agar Persekutuan Sukan Para ASEAN (APSF) memandang serius dan menyediakan langkah awal dalam usaha memastikan pengurusan risiko yang lebih proaktif untuk apa-apa jua situasi.
“Dalam masa sama, pihak MPM ingin mencadangkan supaya APSF memperkasakan wakil-wakil dari rantau ini untuk turut sama menglibatkan diri dalam penganjuran Sukan Para ASEAN.
“APSF wajar bekerjasama dengan semua negara rantau untuk mengukuhkan hubungan dalam menghadapi cabaran untuk menganjurkan Sukan Para ASEAN Hanoi 2021,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata sedia berkongsi idea dan menyediakan kepakaran bagi membolehkan penganjuran temasya APG 2021 dapat diteruskan.
Menurut beliau, MPM pernah mencadangkan untuk melaksanakan Projek Pemerkasaan NPC ASEAN. Kami sedia berkongsi pengalaman dan nilai-nilai utama untuk membangunkan sukan para di rantau Asia Tenggara.
Vietnam sebelum ini bercadang untuk menangguhkan Suka SEA dan APG selama setahun pada mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) diadakan secara maya minggu lepas, namun cadangan itu mendapat bantahan lapan daripada 11 negara peserta termasuk Malaysia.
Berikutan itu, Vietnam diberi tempoh dua minggu untuk membentangkan cadangan baharu.
-Bernama
